Thursday, 16 June 2016

Perjuangan Yang Ditinggalkan Akan Diteruskan - Datin Mastura



Saya akan meneruskan perjuangan suami dalam usaha membela penduduk di sini selain meneruskan agenda pembangunan yang sudah dirancang.
Calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid berkata demikian selepas secara rasminya dicalonkan mewakili BN di Kuala Kangsar.
“Saya yakin pengundi di sini bijak menilai diri saya dalam mentadbir kawasan ini walaupun menerima pelbagai tohmahan berikutan masih berada dalam edah.
"Saya adalah orang Kuala Kangsar, saya sudah berada di sini sejak 27 tahun lepas," katanya pada sidang media yang diadakan di kediaman Mastura di Bukit Chandan, di sini.
Hadir sama, dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong Mohd Kamil Shafie dan ADUN Bukit Chandan Maslin Sham Razman.
Pada proses penamaan calon hari Ahad, Mastura tidak menghadiri sebaliknya beliau diwakili Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Perak Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin yang menyerahkan borang pencalonan tepat pada 9.01 pagi.
Menurut Mastura beliau tidak dipaksa mana-mana pihak untuk menjadi calon BN pada PRK itu.
Sebaliknya, beliau berkata pemilihannya sebagai calon BN adalah satu penghormatan buat dirinya dan berjanji akan meneruskan kesinambungan perjuangan Allahyarham suaminya itu.
"Saya mempunyai keyakinan dengan kepimpinan parti, sebab itu mereka memilih saya kerana berpendapat khidmat baik arwah perlu diteruskan oleh seseorang yang tahu bahawa ia harus dilakukan dengan betul.
"Saya fikir kepimpinan parti memahaminya dan sensitif dengan perasaan penduduk Kuala Kangsar," katanya.
Beliau juga yakin semua jentera BN akan membantunya mempertahankan kerusi Parlimen itu.
Mastura berkata sekiranya dipilih menjadi Anggota Parlimen, beliau mahu memberi lebih tumpuan kepada isu-isu tempatan dan meneruskan agenda pembangunan yang dirancang suaminya,  Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
"Arwah adalah seorang yang sukakan sungai dan air, perbincangan dengan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bagi membangunkan persisiran Sungai Perak di tahap antarabangsa sedang dilakukan,"katanya.
Mastura ditentang Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad yang mewakili PAS, Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Amanah) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).
PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Wan Mohammad Khair-il Anuar yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Sebanyak 32,949 orang layak mengundi pada PRK itu mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 7 Mei lepas.