Sunday, 12 June 2016

Angin Perubahan Pengundi Cina Terhadap BN Di PRK Sungai Besar Dan Kuala Kangsar Cerah - Shahidan


Pengundi Cina dilihat kembali menyokong Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar 18 Jun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata angin perubahan itu tanda positif dan memungkinkan BN memenangi kedua-dua PRK itu dengan majoriti lebih selesa berbanding tahun pilihan raya umum 2013.

"Saya sendiri menjaga satu peti undi mengandungi 70 peratus pengundi kaum Cina, dan selebihnya Melayu dan India. Saya tengok ada perubahan besar dalam masyarakat Cina untuk menyokong BN.

"Perkembangan ini menunjukkan mereka berfikir dengan bijak," kata Shahidan selepas menyampaikan sumbangan pakaian bersama Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Datuk Shamsul Anuar Nasarah untuk 1,064 penerima dalam bahagian Kangar, Arau dan Padang Besar di Dewan 2020 di sini, hari ini.

Shahidan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis berkata kerajaan BN tidak pernah memungkiri janji dan berusaha sedaya upaya memenuhi keperluan rakyat.

"Ini kerajaan BN, rakyat diutamakan. Kita cakap, bukan cakap kosong tapi kita cakap dan buktikan. Kalau kita berjanji, kita tunaikan," katanya.

Parlimen Sungai Besar mempunyai 42,655 pengundi berdaftar menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala Kuala Kangsar 32,949 pengundi membabitkan tiga penjuru
.

- BERNAMA