
Bagaimanapun, kerajaan Perak menerima dan mengambil maklum dan menerima teguran terhadap beberapa kelemahan seperti dilaporkan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, secara keseluruhannya, 75 peratus 15 daripada keseluruhan 20 jabatan yang diurus kerajaan negeri mendapat pengiktirafan tertinggi dan menjadi antara negeri terbaik.
"Walaupun terdapat beberapa kelemahan, tetapi ia hanya membabitkan urusan pentadbiran dan tidak membabitkan penyalahgunaan dalam pembelian. Ia boleh diperbetulkan dan apa yang disebut itu akan diambil maklum.
"Kita terima teguran yang diberikan, kalau tidak apa gunanya audit kerana ia akan membantu mengatasi kelemahan dan kekurangan kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jasamu Dikenang 2017 di Pusat Konvensyen Aman Jaya, di sini hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal.
Seramai 226 pesara membabitkan jabatan kerajaan negeri, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri diraikan pada majlis berkenaan dengan setiap pesara dianugerahkan insentif sijil Amanah Saham Bumiputra (ASB) sebanyak RM3,000 bagi pesara Bumiputra dan insentif Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan jumlah sama bagi pesara bukan Bumiputra.
Dalam pada itu mengulas isu penarikan balik pewartaan kawasan wabak rabies atau anjing gila di kawasan Mukim Matang daerah Larut Matang dan Selama, Zambry berkata perkara itu bukan boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
"Ia adalah isu berkaitan penyakit, jadi biarlah kita serahkan kepada mereka yang pakar, dalam hal itu pihak bertanggungjawab adalah Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
"Perkara itu berkaitan dengan keadaan penyakit dan tidak boleh ambil mudah, semua pihak perlu sabar sehingga kita dapat maklum balas dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk keluarkan pewartaan selepas pihak berkenaan yakin wabak itu sudah sudah berjaya diatasi dan tidak ada sebarang masalah," katanya.
Katanya, apa yang penting masyarakat diharap tidak mempolitikkan isu berkenaan sebaliknya bersabar kerana apa yang dilaksanakan itu adalah untuk kepentingan masyarakat keseluruhannya.
Sumber : BH Online