Monday, 3 October 2016

"Ada Kejutan Menggoncang Jantung Menjelang PRU14" - Annuar Musa



KUALA LUMPUR: Kejutan besar dijangka berlaku menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan kemungkinan Barisan Nasional (BN) membentuk pakatan baharu, demikian bayangan yang disampaikan Tan Sri Annuar Musa.
Ketua Penerangan Umno dan BN itu berkata, berdasarkan situasi politik tanah air dengan penubuhan parti baharu, tidak mustahil BN akan membentuk pakatan dengan parti lain.
"Berikan kami sedikit masa untuk mencari kesimbangan dan pakatan baharu ini akan terbentuk sebelum PRU.
"Akan ada kejutan yang menggoncang jantung," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PTWC) pada Isnin.
Menyifatkan situsasi berkenaan sebagai normal, Annuar berkata, Umno dan BN telah mencapai kesimbangan apabila menyelesaikan isu antara parti dan kini mencari keseimbangan antara parti kerajaan dan pembangkang.
"Kesimbangan ini akan mengambil masa sedikit kerana ada parti yang mahu membentuk pakatan baharu seperti blok ketiga.
"Blok ketiga tidak pasti lagi sama ada ke kiri (pembangkang) atau kanan (kerajaan). Siapa tahu mungkin PAS akan bekerjasama dengan BN.
"Atau mana tahu Tun Mahathir jadi ketua baharu (pembangkang) dan Anwar Ibrahim mahu bekerjasama dengan Najib (Tun Razak).
"Jangan ketepikan kemungkinan itu kerana dalam politik tiada yang mustahil," katanya.
Sementara itu, Annuar berkata, bagi memperkemaskan jentera parti menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU), parti mencapai persetujuan untuk menukar gerak kerja daripada bertahan kepada serangan.
Jelasnya, pelaksanaan strategi baharu itu melibatkan siri jelajah di setiap negeri bermula 7 Oktober ini.
"Kita mahu mendekati rakyat untuk memperbetulkan persepsi  salah yang dilontarkan pembangkang.
"Jadi saya minta semua pihak dalam Umno termasuk ketua-ketua bahagian dan kepimpinan tertinggu untuk bangkit," katanya.-mstar

Related Posts: