Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak awal lagi banyak pihak sudah menjangkakan pemimpin tersebut bakal mengikut jejak langkah bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir keluar parti.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, tiada paksaan kepada Mohd. Shafie keluar parti, sebaliknya beliau melakukannya atas keputusan sendiri.
“Gerakan mereka untuk menentang kepimpinan UMNO telah lama bermula, saya percaya kalau Mohd. Shafie keluar parti beri kesan terhadap parti, sudah tentu sejak mula lagi parti ini akan mendapat impaknya. Mungkin hanya sokongan di Semporna sedikit terjejas tetapi tidak di tempat lain.
“Namun, kita yakin kewibawaan Datuk Nasir Sakaran yang juga merupakan anak kepada Tun Sakaran Dandai dan mungkin mengambil alih kepimpinan mampu menyatupadukan ahli UMNO di Semporna. Selain itu Saya percaya ahli yang keluar parti hanya mengikut emosi dan setelah beberapa lama mereka akan kembali kepada parti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Shafie Apdal mengumumkan keluar daripada UMNO berikutan tindakan Majlis Tertinggi parti yang menggantung keahliannya minggu lalu.-  Utusan Malaysia