Friday, 15 January 2021

Reputasi UMNO Diasak Untuk Lemahkan Parti Yang Gagah Bangkit - Zahid Hamidi


 Tanggal 9 Mei 2018, satu dunia tahu UMNO hilang kuasa. Apabila Dato' Seri Najib Razak mengamanahkan jawatan Presiden, terasa bahu ini amat berat mengendalikan parti keramat.

Pedih memikirkan 60 tahun di persada wadah, kita tumpas kerana dakyah.

Membangunkan semula perjuangan orang Melayu pada waktu sukar, tatkala seorang demi seorang meninggalkan UMNO amat mengguris hati dan perasaan.

Mata ini menjadi saksi, seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO melompat sana sini, mereka meninggalkan perjuangan yang selama ini mereka taati.

Ada yang menjadi duri dalam daging, menyerang UMNO sana sini, seperti mahu melemahkan parti sendiri. Ya, bebanan itu aku rasai dengan timbunan fitnah yang tiada henti.

Siang malam aku berfikir, di mana harus kita kembalikan maruah, melaksanakan semula asas perjuangan yang ditadah.

Syukur Alhamdulillah, Allah mendengar isi hati dan doa kita, untuk membentuk muafakat bersama. Kita tidak peduli apa itu penat, apa itu lelah kerana itulah harga yang perlu dibayar demi maruah agamaku, bangsaku dan negaraku.

Aku bukanlah tuli seperti yang dibuli dan aku sedar serangan demi serangan bertujuan untuk melemahkan perjuangan ini.

Aku juga sedar mereka menyerang reputasi diri. Mereka akan menyerang dan terus menyerang sehingga tiada nokhtah henti.

Percayalah, lima pilihanraya kecil sudah kita tempuhi dan kita yakin kemenangan kembali. Allah Maha Mengetahui hati kecil ini, niat dan tangisan ini.

Namun, tidak sesekali akan aku sesali kerana aku yakin dengan perjuangan ini. Ayuh akar umbiku, beranilah berpijak di bumi yang nyata dan teruskan perjuangan untuk generasi kita.

Akar umbiku, biarpun mereka melupai sumbangan kita, jangan ditagih pujian mereka. Dakyah mereka terus membara namun kita sudah membentuk muafakat bersama.

Tiga tahun sudah berlalu, kompang sudah dipalu dan sokongan itu kembali bertalu. Musuh sedar itu dan mereka akan mencari idea baharu.

Wahai akar umbiku, sesudah UMNO bangkit kembali ada pihak cuba menangguk di air keruh, mereka sedar sokongan ini dan mahu melemahkan kebangkitan ini.

Percayalah akar umbiku, kisah-kisah kejatuhan UMNO akan terus dikaitkan sedangkan kebangkitan sudah kita kecapi.

-Presiden UMNO

DS Ahmad Zahid Hamidi