Tuesday, 7 July 2020

Wartawan Al Jazeera Akan Dipanggil Untuk Siasatan



Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata POLIS akan memanggil pengendali Al Jazeera dan wartawannya yang berkaitan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dokumentari agensi berita antarabangsa itu mengenai cara Malaysia menangani pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan Covid-19.
Siasatan segera akan dilakukan menurut beberapa peruntukan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan.
"Kita akan tengok dari sudut undang-undang selepas dia menjawab soalan-soalan," katanya ketika ditemui pemberita di Putrajaya, hari ini selepas menghadiri perasmian Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2020 oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid semalam mengesahkan polis telah memulakan siasatan berhubung laporan itu dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19.
Sementara itu, mengenai dakwaan beberapa wakil daripada inisiatif Parlimen Digital telah dihubungi polis selepas mereka menamatkan sidang maya pada 4 Jun lalu, Abdul Hamid berkata, semakan dalaman mendapati tiada individu yang dipanggil polis setakat ini.
"Siapa yang rasa dirinya ditindas sila tampil ke depan. Saya nak tahu siapa yang dipanggil, polis mana yang panggil kerana setakat ini selepas disemak tidak ada pihak saya yang memanggil mereka.
"Saya minta kerjasama yang buat aduan untuk tampil ke depan dan jangan bimbang kita akan ambil tindakan yang seadil-adilnya," katanya.
Abdul Hamid berkata tidak ada tindakan jenayah yang dibuat terhadap sidang maya Parlimen Digital yang digerakkan kumpulan belia tersebut

- sumber Harian Metro