Wednesday, 8 July 2020

Tempoh Moratorium Perlu Dilanjutkan Mendokong Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Pandemik Covid-19. - Zahid Hamidi


Tempoh Moratorium harus dilanjutkan untuk mendokong pelan pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.
Saranan saya adalah: 

A) Bank-bank melanjutkan tempoh moratorium kepada peminjam.

B) Bank Negara perlu turunkan OPR kepada sekitar 0% 

1. Moratorium yang sedang berlangsung merupakan satu komponen penting yang menyumbang kepada keberkesanan pakej rangsangan ekonomi Kerajaan Malaysia. 

2. Moratorium telah memberikan manfaat yang sangat besar bukan sahaja kepada peminjam, malah merupakan antara polisi penting yang berjaya menyelamatkan ekonomi negara kerana ia telah mempertahankan tingkat perbelanjaan sektor domestik (isirumah dan perniagaan) daripada terus merudum. Untuk itu saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia dan bank-bank yang menjayakan polisi ini.

3. Moratorium adalah satu bentuk pakej rangsangan ekonomi tanpa kerajaan meningkatkan perbelanjaan fiskal. Ini kerana moratorium membolehkan peminjam yang terdiri daripada rakyat awam dan perniagaan, terutamanya SME dapat meningkatkan perbelanjaan mereka dalam ekonomi tanpa kerajaan perlu mengeluarkan belanja. 

4. Moratorium yang diluluskan adalah berjumlah lebih kurang RM 40 billion. 

https://www.theedgemarkets.com/article/moratorium-worth-rm40-bil-granted-until-june-12-under-prihatin

5. Ini bermakna seandainya moratorium tidak diberikan oleh kerajaan, perbelanjaan domestik dalam ekonomi negara akan berkurang sebanyak RM40 billion kerana wang yang digunakan untuk membayar balik pinjaman bank adalah merupakan bocoran wang yang terkeluar dari kitaran ekonomi. 

6. Sekiranya peminjam perlu membayar pinjaman ketika ini, ia bukan sahaja membebankan peminjam ketika banyak sektor perniagaan dan industri terpaksa tutup akibat lockdown serta ramai pekerja dipotong gaji dan dibuang kerja, malah akan mengakibatkan agregat perbelanjaan dalam ekonomi domestik menguncup sebanyak RM40 bilion. Justeru, andai kata moratorium tidak dilaksanakan, ia hanya akan lebih merugikan sektor-sektor lain.

7. Bagi tahun 2020, Bank Negara mengunjurkan ekonomi negara bakal mencatatkan pertumbuhan negatif atau paling tinggi, dijangkakan ekonomi hanya akan tumbuh dl sekitar 0.5% sahaja.

https://www.bnm.gov.my/ar2019/files/emr2019_en_ch2.pdf

8. Berlakunya kelembapan ekonomi ketika ini adalah akibat agregat perbelanjaan mengalami penurunan, antaranya disebabkan oleh perbelanjaan isirumah yang terkesan kerana pendapatan pekerja terjejas. Selain itu, perbelanjaan pelaburan juga mengalami penurunan kerana sektor perniagaan dan korporat mengambil keputusan untuk tidak melabur kerana mereka menjangkakan kelembapan ekonomi akan berlaku.

9. Ini bermakna bukan sahaja pekerja mengurangkan perbelanjaan isirumah, malah sektor perniagaan dan korporat juga mengurangkan perbelanjaan pelaburan mereka. 

10. Peningkatan perbelanjaan isirumah adalah merupakan antara komponen terpenting yang menjadi pendorong kepada pemulihan ekonomi. Oleh itu, tingkat perbelanjaan isirumah yang stabil dan tidak mengalami penurunan mendadak setelah tempoh moratorium tamat nanti bakal mewujudkan ‘business confidence’ , ini dapat mengelakkan daripada lebih banyak perniagaan gulung tikar dan dapat menyelamatkan ramai pekerja dibuang kerja.

11. Oleh itu, pada pandangan saya tempoh moratorium yang bakal tamat pada September ini wajar dilanjutkan lagi sehingga penghujung tahun ini atau suku pertama tahun 2021. Dengan tempoh moratorium dilanjutkan, maka penguncupan mendadak tingkat perbelanjaan domestik dalam ekonomi dapat dielakkan.

12. Saya amat yakin sektor perbankan dalam negara kita sangat mampu untuk terus bekerjasama dengan kerajaan bagi menjayakan polisi ini sekiranya tempoh moratorium dilanjutkan. Saya yakin perlanjutan tempoh moratorium tidak akan merugikan bank, sebaliknya ia hanya akan mengurangkan keuntungan bank sahaja. Laporan dari Bank Negara sendiri mengatakan bahawa bank-bank di negara kita berada dalam kedudukan yang kukuh dan mampu untuk bertahan sekiranya keuntungan mereka berkurang. “Banks are well-positioned to absorb the potential impact on profitability, given the prudent provisioning buffers built up over the years.” -BNM https://www.bnm.gov.my/ar2019/files/fsr2019h2_en_ch2a.pdf

13. Saya juga berharap agar Bank Negara dapat mengurangkan OPR kepada sekitar 0% sejajar dengan polisi monetari yang dilaksanakan di banyak negara lain kini. Pada pandangan saya penurunan kadar bunga kepada sekitar 0% ketika ini tidak akan mendatangkan risiko inflasi kepada negara kita, ini kerana kelembapan ekonomi telah menyebabkan banyak negara berhadapan dengan risiko deflasi, termasuklah di Malaysia. Pengurangan kadar bunga akan mengurangkan kos pinjaman bagi perniagaan, seterusnya mengurangkan kos pelaburan dan sedikit sebanyak dapat membantu pemulihan ekonomi.
https://www.nst.com.my/business/2020/06/603281/further-deflation-2020-april-cpi-matches-steepest-drop-10-years

- DS Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO