PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa sudah menjadi tugas Kerajaan untuk mengutamakan kelangsungan hidup rakyat.
Jelas beliau, segala inisiatif perlu dilakukan dan rakyat tidak boleh menunggu terlalu lama untuk menerima bantuan lebih-lebih lagi pada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas.
Katanya lagi permasalahan besar yang dihadapi sekarang adalah mengenai cara untuk mengurus dan menangani masalah COVID-19.
“Rakyat seluruh negara tahu, dalam situasi yang amat sukar dan sulit ini, kerajaan tidak ada pilihan. Malah, saya sendiri berpendapat tindakan-tindakan segera mesti diambil walaupun sebelum sesi Parlimen bermula.
“Dan hari ini, walaupun perkara itu belum lagi dibentangkan in sha Allah Menteri Kewangan saya akan bentangkan dalam tempoh sesi ini juga segala perkara yang terperinci.
“Ada berpuluh-puluh inisiatif yang terpaksa dilaksanakan kerana di luar sana, rakyat menunggu,” katanya di Dewan Rakyat, Isnin.
Sementara itu, beliau juga menafikan dakwaan oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kerajaan gagal membuka ruang kepada Ahli-ahli Parlimen membahaskan usul berkaitan impak COVID-19 serta inisiatif yang dilakukan.
“Dia (rakyat) tak boleh nak tunggu sesi parlimen ini. Dia nak bantuan disampaikan sekarang. Mereka menghadapi kesukaran sekarang, industri-industri dah runtuh sekarang, perniagaan-perniagaan tak boleh nak dilaksanakan.
“Itu saya faham, sebagai tugas Ahli Parlimen memang itu tanggungjawab. Tetapi tugas kerajaan adalah untuk menentukan rakyat mesti dibela,” ujarnya. -