Saturday, 17 November 2018
Pendidik Pilih Anuar Ganti Menteri Pendidikan Sebelum Jadi PM
By @MNA at 08:46:00
Kata segelintir guru jika (Tun) Dr. Mahathir Mohamad tidak mahu melepaskan jawatan Perdana Menteri pun, bagilah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi Menteri Pendidikan terlebih dahulu, Guru-guru semakin tidak `senang’ dengan polisi-polisi mengejut dan luar jangka di bawah kepimpinan Dr. Maszlee Malek.
Mereka berharap, pengalaman Anwar mengendalikan kementerian itu sebelum ini dapat membantu mengurangkan keluh-kesah golongan pendidik ketika ini ekoran sentuhan Dr. Maszlee yang lebih banyak membawa kepada kekeliruan.
Sejak dilantik memegang portfolio kanan dalam Kabinet PH Dr. Maszlee sudah beberapa kali menjadi tumpuan nasional ekoran dasar-dasar baharu yang diumumkannya.
Selain kedudukannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang terus menjadi sasaran kritikan, Dr. Maszlee dilihat kerap membuat perubahan atau memperkenalkan polisi-polisi tanpa mengambil kira kemampuan dan keupayaan guru.
Ketika janji-janjinya untuk mengurangkan beban guru termasuk membebaskan guru daripada kerja-kerja perkeranian belum tertunai, Dr. Maszlee tampil pula dengan idea supaya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diadakan pada bulan September.
Cadangan ini bagi para guru merupakan satu lagi cabaran serta bebanan yang perlu mereka tanggung.
Antara persoalan yang ditimbulkan, jika SPM diawalkan ke bulan September, bagaimana pula dengan peperiksaan lain?
Pada bulan berapa pula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diadakan? Bagaimana pula dengan Penilaian Tahap Tiga (PT3)? Adakah akan diadakan serentak dengan SPM atau diadakan lebih awal?
Semua persoalan ini berlegar-legar di fikiran guru kerana jika sistem jadual SPM yang baharu itu mula dilaksanakan pada September bemakna para guru mempunyai masa tidak untuk menyesuaikan sistem pengajaran dan pembalajaran supaya sesuai dengan jadual baharu tersebut.
Jika peperiksaan utama lain juga diawalkan, bagaimana pula dengan kesediaan guru? Adakah guru-guru bersedia untuk menghabiskan sukatan pelajaran atau silibus yang banyak itu dalam masa yang singkat.
Sepatutnya, apabila tarikh peperiksaan dipercepatkan, sukatan pelajaran perlu dikurangkan supaya para guru mempunyai cukup masa untuk mengajar.
Menurut pada guru, pada masa sekarang skop sukatan pelajaran terlalu banyak untuk dihabiskan. Jika, jadual peperiksaan dipercepatkan kemungkinan ia tidak sempat untuk dihabiskan.
Ini yang mereka kesalkan dengan Dr. Maszlee sebagai Menteri Pendidikan kerana beliau lebih suka mengumumkan polisi baharu terlebih dahulu dan mengkajinya kemudian.
Sebelum ini Dr. Maszlee telah mengumumkan 12 inisiatif yang akan dilaksanakan pada peringkat sekolah tahun hadapan berteraskan kasih sayang, kegembiraan dan saling menghormati termasuk jaminan tiada lagi kerja perkeranian untuk guru bermula 2019.
Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Maszlee juga mengelirukan seperti memperkenalkan sistem pentaksiran baharu bagi menggantikan peperiksaan murid Tahap 1 yang melibatkan pelajar tahun satu, dua dan tiga.
Dr. Maszlee juga mengelirukan warga pendidikan tinggi apabila mengumumkan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) akan dimansuhkan. Sedangkan keseluruhan pentadbiran dan pengurusan universiti tertakluk kepada AUKU.
Semua pihak sedar beban yang ditanggung oleh guru. Ia bukan perkara baharu dalam dunia pendidikan ekoran guru-guru terpaksa melakukan tugas yang diarahkan yang langsung tidak ada kaitan dengan tugas hakiki guru sebagai seorang pendidik.
Bayangkan guru-guru perlu menguruskan fail, merekodkan dokumen dan pelbagai tugas lain termasuk menjadi pengiring atau penyelia apabila berlangsung sesuatu acara melibatkan mana-mana kementerian.
Oleh itu, sebelum sesorang menteri itu membuat pengumuman untuk melaksanakan polisi baharu seperti mempercepatkan tarikh peperiksaan penting, keupayaan dan kesediaan guru faktor utama yang perlu diambil kira.
Sikap Dr. Maszlee yang dikatakan selalu tergesa-gesa dalam melaksanakan sesuatu polisi seolah-oleh memberi gambaran beliau tidak cukup cekap untuk mengendalikan kementerian yang sangat penting seperti Kementerian Pendidikan.
Kerana itu ada cakap-cakap supaya sebelum mengambil alih tampuk pentadbiran negara daripada Dr. Mahathir, adalah lebih elok jika Anwar dilantik mengetuai Kementerian Pendidikan terlebih dahulu.