Sunday, 31 December 2017

Dapatkan RM200 Untuk Bayi Menerusi ADAM50

Related image

Klip video penerangan mengenai kepentingan Skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) dikongsi Datuk Seri Najib Razak, menerusi akaun Facebook beliau, hari ini.

Klip video selama kira-kira enam minit itu, memaparkan penerangan mengenai ADAM50 yang disampaikan oleh Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Menerusi klip video terbabit, Wahid melahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memperkenalkan ADAM50 dalam Bajet 2018.

"ADAM50 adalah inisiatif kerajaan bersama PNB untuk menggalakkan pelaburan sejak kecil lagi.

"Apa yang dilaksanakan ini adalah usaha memberikan dana untuk pelaburan permulaan. Ia membolehkan setiap anak di Malaysia, menerima dana permulaan dan menjadi hasrat kita, mereka akan terus kekal menabung sehingga usia 18 tahun.

"RM200 itu sebagai permulaan saja. Kita harapkan dari semasa ke semasa mereka akan tambah dan juga RM200 ini tidak boleh dikeluarkan sehingga mereka berumur 18 tahun," katanya menerusi penerangan itu.

Wahid berkata, anak yang baru lahir, akan mendapat MyKid atau sijil kelahiran dan beliau berharap ibu-bapa segera mendaftar nama anak masing-masing di mana-mana cawangan Amanah Saham Nasional Berhad atau ejen.

ADAM50 ialah kaedah untuk mewujudkan budaya melabur dalam kalangan rakyat. Ia juga bagi memastikan rakyat mempunyai tabiat melabur seperti unit amanah untuk jaminan masa depan mereka.

Sumber: BH Online