Sunday, 3 December 2017

Bekas Menteri- Menteri Besar Selangor Optimis Gabung Tenaga Rampas Selangor Dari Pembangkang


Tan Sri Muhammad Muhammad Taib bersedia untuk bekerjasama dengan seorang lagi bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memenangkan UMNO BN di Selangor.

Gabungan bekas Menteri Besar itu sekaligus akan menggunakan kepakaran masing-masing dalam menyedarkan rakyat Selangor akan penipuan yang dibuat Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kita akan bantu BN Selangor, sekarang rakyat di Selangor tak nampak lagi bahayanya kerajaan DAP yang mengawal setiap gerak geri dan langkah yang ingin dibuat kerajaan Azmin. Mereka hanya dibaluti slogan dan jerit-jeritan semangat dan janji, tapi tiada satu pun yang dikotakan.

“Azmin hanyalah puppet, puppet untuk kerajaan DAP, tak ada pun agenda Melayu yang diperjuangkan, yang lebihnya mereka nak buat urbanisasi di Selangor, tapi Melayu kita tidak dibantu, akhirnya bangsa kita sendiri dipinggirkan dari Selangor,”

Membuktikan perkara tersebut, Muhammad Taib berkata pembubaran Yayasan Selangor dan fungsi PKNS adalah antara contoh paling ketara dilihat yang bangsa Melayu mulai dipinggirkan dan ia adalah sebahagian daripada rancangan DAP.

“PKNS sudah lari dari fungsi yang sebenar, rumah yang dibina RM600 ribu hingga RM1 juta, siapa yang mampu beli? Melayu kah? Tidak. Jadi untuk apa dibina rumah semahal itu sekali?

“Lihat pula kuasa kerajaan tempatan juga dikawal DAP, baik Majlis Perbandaran Shah Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Ini yang saya dan Tan Sri Khalid ada bincangkan, dia sendiri berkata pada saya yang Selangor perlu diubah daripada kerajaan Pakatan Rakyat kepada BN,” ujarnya.

Tambah Muhammad Taib lagi, orang Melayu khususnya perlu sedar supaya tidak lagi memberi undi kepada PH dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kali ini bagi memberhentikan pengaruh DAP dan penipuan terhadap rakyat Selangor keseluruhannya.

Dengan itu, gabungan beliau dan juga Khalid serta beberapa bekas Menteri Besar lain iaitu Dr Mohamad Khir Toyo dan Tan Sri Abu Hassan Omar akan membantu rakyat dalam memberi kesedaran sekaligus memenangkan UMNO BN pada PRU akan datang.

Related Posts: