Monday, 1 May 2017

Kerajaan Umumkan Lima Lonjakan Transformasi Pekerja Demi Kebajikan Rakyat



Kerajaan sedang melakukan lima lonjakan transformasi pekerja yang memastikan Malaysia berada dalam kedudukan negara berpendapatan tinggi seiring dengan kemajuan ekonomi.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, ia sekali gus memastikan kebajikan dan kesejahteraan pekerja serta golongan mudah terjejas terbela 

Jelasnya, antara langkah yang sudah dilakukan adalah Dasar Gaji Minimum Kebangsaan yang mula dilaksanakan pada tahun 2013.

"Melalui pemeriksaan berkanun yang dijalankan ke atas lebih 121,000 majikan mendapati bahawa, 98 peratus telah mematuhi dasar gaji minimum ini, dan baki dua peratus lagi telah diberikan notis pematuhan. 

 "Kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan seperti BR1M, Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Rumah Mampu Milik, PPA1M, PR1MA, kepada golongan pekerja terutamanya B40 dan M40;

"Kerajaan juga telah memperluaskan pelaksanaan program mengiktiraf pengalaman dan kepakaran pekerja berkemahiran melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT)," katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Pekerja Negara 2017 di sini hari ini.
Jelas Datuk Seri Najib, sehingga kini, hampir 125,000 pekerja telah dipersijilkan dalam pelbagai bidang kemahiran, yang secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup golongan itu ke tahap yang lebih baik.

Selain itu katanya, kerajaan mahu mengoptimumkan modal insan, memperkukuh perancangan dasar dan sistem gaji termasuk meningkatkan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara.

"Ternyata, usaha kerajaan selama ini tidak sia-sia, apabila kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh telah meningkat hampir 10 peratus, daripada hanya 45.8 peratus pada tahun 2006, kepada 54.3 peratus pada tahun 2016.

"Justeru, kerajaan akan terus memantapkan kerjasama dengan pihak swasta untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif kepada pekerja wanita.

"Hal ini termasuklah, mengkaji kemudahan cuti bersalin dan cuti paterniti kepada pekerja lelaki yang berkelayakan," ujarnya.

Tambahnya, usaha mengupayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal Dan Vokasional (TVET) yang akan diterajui oleh industri, melalui kerjasama institusi TVET dengan kerajaan juga sedang dilaksanakan.

"Kaedah ini telah terbukti, kerana lebih 80 peratus pelajar lepasan TVET berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian," katanya.

Dalam pada itu kata Datuk Seri Najib, lonjakan transformasi kempat akan menumpukan usaha memperkasakan agensi penyedia perkhidmatan pekerjaan awam.

"Bagi meningkatkan kemahiran dan keboleh pasaran supaya lebih ramai OKU bekerja, maka saya dengan sukacitanya ingin melancarkan inisiatif OKU Talent Enhancement Programme atau OTEP," ujarnya.

Katanya lagi, lonjakan transformasi kelima merupakan usaha memperluaskan perlindungan keselamatan sosial dengan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

"Melalui SIP ini, pekerja akan mendapat bantuan kewangan sementara untuk menyara hidup diri dan keluarga dalam tempoh tertentu semasa mencari pekerjaan baharu.

"Selain bantuan kewangan, pekerja yang kehilangan mata pencarian juga akan diberi sokongan perkhidmatan pekerjaan, yang meliputi bantuan carian kerja, pemadanan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan latihan kerjaya untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

"Bagi melaksanakan SIP ini, kerajaan sedang memperhalusi draf Rang Undang-undang SIP, bagi pembentangan pada sesi persidangan Parlimen yang akan datang," jelasnya.

Datuk Seri Najib turut mengumumkan peruntukan tambahan RM70 juta untuk tujuan pembayaran faedah kewangan SIP pada tahun 2018 kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pada majlis sama, Pengarah Urusan HMN Nadhir Sdn. Bhd. Awang Habiburllah Awang Ismail menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif) dan Penolong Pegawai Latihan Vokasional Institut Kemahiran Mara Lumut, Albakri Alias menerima anugerah sama bagi kategori bukan eksekutif.