KUALA LUMPUR - Susulan peletakan jawatan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi serta pemergian timbalannya Allahyarham Datuk Noriah Kasnon, satu penstrukturan semula jemaah menteri Persekutuan akan dibuat dalam masa terdekat ini.
Najib berkata, Uggah telah berkhidmat dengan cemerlang dan banyak menyumbang kepada sektor komoditi dalam jawatan sebelum ini, antaranya penubuhan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit yang telah membantu dalam memastikan kestabilan harga sawit dan membangunkan industri hiliran.
Katanya kecemerlangan ini akan beliau (Uggah) bawa dalam jawatan baharu sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.
“Penstrukturan semula Jemaah Menteri Persekutuan dan lantikan baharu bagi memenuhi keperluan terkini serta pengisian jawatan akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya dalam entri di blog NajibRazak.com.
Najib turut memaklumkan telah menerima peletakan jawatan oleh Uggah
Pada masa sama, Najib berkata “kita masih lagi bersedih dengan tragedi yang menimpa rakan seperjuangan kita ketika bertugas di Sarawak”.
Dalam insiden pada 5 Mei lepas, helikopter Eurocopter AS350B yang dipandu oleh warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas terhempas di kawasan Sebuyau, Sarawak dan mengorbankan lima lagi penumpang termasuk Noriah dan suaminya Asmuni Abdullah.
Turut terkorban Ketua Setiausaha kementerian tersebut Datuk Dr Sundaran Annamalai, Anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun.
Dalam pada itu, Najib melahirkan rasa syukur kepada rakyat di Sarawak kerana terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri ke-11 (PRN-11).
Beliau berkata kesinambungan kepada itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem telah mengumumkan Kabinet negeri yang baharu semalam.
“Berdasarkan lantikan dan pemilihan, saya lihat bahawa komposisi dari segi kaum dan parti adalah saksama dan adil, mewakili kepentingan semua pihak,” katanya.
Najib berkata beliau percaya mereka yang telah dilantik akan berkhidmat bersama-sama Adenan dengan setulus hati dalam membawa Sarawak lebih maju dan berjaya.
“Kepada ahli-ahli Kabinet negeri Sarawak, selamat menjalankan tugas dan menunaikan janji Barisan Nasional,” katanya.