KUALA KANGSAR: Pergerakan Pemuda Umno telah menyenaraikan beberapa pemimpin muda untuk dipilih oleh kepimpinan parti sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar 18 Jun ini.
Naib Ketua pergerakan itu Khairul Azwan Harun berkata senarai nama calon itu dikemukakan kepada Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang akan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti.
"Senarai nama itu adalah daripada kalangan pemimpin tempatan dan luar," katanya ketika ditemui selepas perjumpaan dengan jentera Pemuda Umno dan BN di sini, Ahad.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian Anggota Parlimennya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Turut terkorban Anggota Parlimen Sungai Besar, Selangor Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. - BERNAMA