Monday 2 May 2016

Dakwaan Pusat Abai Sarawak Satu Pembohongan – Ismail Sabri

Ismail Sabri rasmi Kelab Waris Kemas

KUCHING – Dakwaan bahawa kerajaan Pusat menganaktirikan Sarawak adalah bohong kerana negeri ini sering menerima peruntukan pembangunan yang besar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kementeriannya sendiri tahun ini memperuntukkan lebih satu per empat belanjawan pembangunannya untuk Sarawak.

“Pada tahun ini, daripada bajet RM5.4 bilion, kementerian memperuntukkan RM1.3 bilion untuk Sarawak iaitu kira-kira 27 peratus.

“Untuk bantuan rumah orang miskin, kita ada RM300 juta diperuntukkan ke seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak RM88 juta atau hampir 30 peratus untuk negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) Sarawak dan melancarkan Kelab Warisan Anak Muda Perintis Intelektual SeMalaysia (Waris) negeri, di sini semalam.

Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Hassan Mohd. Amin; Presiden PBAKM, Datuk Melati Ali dan Pengerusi PBAKM Sarawak, Hidir Nusi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, berdasarkan rekod prestasi kerajaan Pusat di negeri ini, beliau berharap Sarawak mesti dikekalkan sebagai sebuah negeri BN.

Dengan cara itu katanya, segala perancangan yang dibuat kerajaan akan terus dapat dilaksanakan.

“Saya lihat kalau negeri itu sama dengan pusat dari segi parti, lebih mudah untuk kita laksanakan segala perancangan pembangunan,” katanya.

Menyentuh mengenai Waris, kata beliau, kelab itu menghimpunkan anak-anak kakitangan dan bekas kakitangan Kemas yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional.

“Ini sebagai menyambung perjuangan ibu bapa mereka yang merupakan penyokong kuat BN. Ahli Kemas merupakan kumpulan penyokong yang penting dalam mempertahankan kerajaan,” katanya. – Utusan