Sunday 1 May 2016

Kekal 6 Peratus, Isu Kadar GST Naik Propaganda DAP – Najib

PM Najib di Sibuti, Bekunu

Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi jaminan kerajaan tidak akan menaikkan kadar cukai barang dan perkhidmatan (GST) daripada enam peratus yang dikuatkuasakan ketika ini.

Tampil menjawab tuduhan pembangkang yang menggunakan isu tersebut dalam kempen Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak, Najib berkata, dakyah murahan itu merupakan fitnah serta pembohongan pembangkang.

“Beberapa hari ini, saya berada di Sarawak untuk berkempen, saya dengar tersebar khabar angin kononnya kerajaan akan menaikkan kadar GST selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak.

“Saya nasihatkan rakyat Sarawak janganlah terperangkap dengan fitnah dan pembohongan oleh pembangkang yang sudah hilang modal politik.

“Sebagai Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, saya ulangi jaminan bahawa kerajaan langsung tidak ada perancangan untuk mengubah kadar GST pada masa ini dan ia akan dikekalkan,” kata Perdana Menteri dalam blognya, https://www.najibrazak.com semalam.

Pembangkang khususnya DAP semasa berkempen di Sarawak menuduh kononnya kerajaan akan menaikkan kadar GST kepada sekurang-kurangnya 10 peratus jika BN menang besar dalam pilihan raya berkenaan.

Bagi menyedapkan lagi tuduhan tidak berasas itu, pembangkang mengaitkan kononnya langkah tersebut akan diambil susulan kejatuhan harga minyak dunia dan kehilangan berterusan hasil kerajaan.

Dalam pada itu, Najib berkata, tidak seperti pembangkang, BN di bawah kepemimpinan beliau dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, akan sentiasa memberi fokus bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di negeri ber­kenaan.

“Kerajaan BN berhasrat meningkatkan taraf kehidupan Sarawak dan ini jelas terbukti dengan keikhlasan dan komitmen kerajaan dalam projek pembangunan seperti Lebuhraya Pan Borneo yang tidak akan dikenakan tol,” katanya. – Utusan