Monday 4 April 2016

Wan Azizah Enggan Sepentas Dengan Mahathir



Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan bahawa tiada keperluan untuk beliau bersama dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam siri jelajah Selamatkan Malaysia.

Pendirian itu dinyatakan beliau kepada wartawan apabila ditanya samada beliau akan menyertai barisan kepimpinan pembangkang bersama Mahathir dalam misi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ia ekoran siri jelajah tersebut disertai gabungan kumpulan anti Najib termasuklah wakil rakyat pembangkang.

“Buat masa sekarang tidak perlu,” katanya kepada pemberita ketika ditanya sama ada beliau besedia untuk bersama Dr Mahathir dalam siri jelajah Selamatkan Malaysia.

Mahathir pada 29 Mac lalu telah menyertai jelajah pertama Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Pandan Indah.

Himpunan turut disertai pemimpin PKR, AMANAH, DAP dan pimpinan UMNO yang menentang Perdana Menteri tanpa kelibat Ketua Pembangkang itu.

Sebelum ini, Mahathir menyatakan hasratnya secara terbuka untuk bertemu dengan Wan Azizah bagi membincangkan cara untuk menjatuhkan Najib.

Walaubagaimanapun, perlawaan Mahathir masih belum mendapat apa-apa maklum balas Wan Azizah sehingga kini.