Friday 18 March 2016

Skandal ‘Mahligai’ Lim Guan Eng Tak Sama Dengan Kes Khir Toyo

isu rumah dr khir dan lim guan eng di media sosial

Isu pembelian ‘mahligai’ yang berkeluasan lebih 10,161 kaki persegi membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak sama dengan kes melibatkan Dr Mohamad Khir Toyo, kata pentadbir laman Facebook bekas Menteri Besar Selangor itu.

“Dakwaan sesetangah pihak bahawa kes pembelian rumah Lim Guan Eng sama dengan kes Dr Mohamad Khir Toyo adalah tidak benar.

“Dr Khir membeli rumah separuh siap mengikut harga penilaian pasaran oleh penilai hartanah Rahim and Co. Dr Khir didapati bersalah kerana membeli rumah dari orang yang ada hubungan rasmi dengan beliau walaupun tiada keistimewaan diberikan kepada Shamsudin Haryoni,” katanya.

Dr Khir yang kini menjalani hukuman penjara 12 bulan didapati bersalah pada 15 September tahun lepas atas dakwaan menyalahgunakan kedudukannya sebagai Menteri Besar untuk mendapatkan hartanah dengan harga yang lebih rendah dari nilai pasaran.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam itu itu diperoleh Dr Khir dengan harga RM3.5 juta, sedangkan sebelumnya ia dibeli oleh Shamsuddin Hayroni selaku Pengarah Ditamas Sdn Bhd pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Mengulas lanjut, menurut pentadbir laman FB itu lagi, kes Dr Khir berbeza dengan kes Lim Guan Eng kerana Setiausaha Agung DAP itu membeli hartanah berkenaan dengan harga murah di bawah nilai pasaran dari seseorang yang mempunyai kepentingan perniagaan dengan kerajaan negeri.

“Manakala kes Lim Guan Eng, beliau dituduh menyewa rumah dengan harga murah dan kemudian membeli rumah tersebut dengan harga di bawah nilai pasaran dari pada Miss Phang.

“Pada masa yang sama syarikat Phang telah membeli tanah dari kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk pembangunan komersial. Tanah ini sebelumnya telah digazetkan sebagai tanah pembangunan perumahan rakyat termiskin (PPRT).

“Ini bermakna Lim Guan Eng telah memberi keistimewaan kepada penjual rumah beliau,” hujahnya lagi.

Sebelum ini Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabuddin Yahaya mendedahkan Lim Guan Eng telah membeli rumah tersebut Oktober tahun lalu dengan harga RM2.8 juta, sedangkan harga pasaran semasa rumah berkenaan dianggarkan sekitar RM6 juta hingga RM6.5 juta.

Sementara itu,  di pelbagai laman blog dan Facebook mendapati pelbagai poster perbandingan antara kes Dr Khir Toyo dengan isu pembelian rumah oleh Lim Guan Eng telah disebarkan pihak tertentu.

Dalam perkembangan berkaitan, Lim Guan Eng mengibaratkan pembelian rumah tersebut umpama sebuah perkahwinan di mana kedua-dua belah pihak secara rela hati memutuskan harga yang sesuai atau ‘teman’ yang sesuai.

“Ini adalah transaksi ‘bebas dan rela hati’ antara saya dan penjual berasaskan dasar kesanggupan secara rela hati pembeli dan penjual.

“Penjual merupakan individu persendirian melalui sub jualan, dan bukan merupakan pemaju perumahan,” katanya dipetik dari portal berita Utusan.