Friday 18 March 2016

Kertas Siasatan Terhadap Lim Guan Eng Akan Dibuka - SPRM






                       Rumah banglo yang dibeli Lim Guan Eng pada harga rendah daripada harga pasaran


 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan berhubung isu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membeli rumah jenis banglo pada harga rendah daripada harga pasaran serta didakwa mempunyai kaitan dengan isu penjualan tanah di negeri itu.

Menurut sumber SPRM, kertas siasatan itu akan dibuka mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung dakwaan kononnya menerima suapan daripada pihak yang berkepentingan.

"Kita telah menerima beberapa laporan berkenaan isu ini hari ini dan kita masih menunggu jika ada laporan lain yang dibuat.

"Kalau aduan sebegini, memang kita akan buka kertas siasatan secepat mungkin dan kami akan siasat tidak kira siapa individu yang terlibat," katanya kepada Bernama hari ini.

Selain itu, kata sumber itu, pihaknya juga akan memanggil Lim untuk memberi keterangan setelah mendapatkan keterangan daripada pengadu-pengadu serta saksi-saksi.

"Saksi akan dipanggil untuk sahkan tohmahan yang diutarakan dan selepas itu baru kita akan panggil dia (Lim)," kata sumber itu.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan Lim didakwa membeli rumah di Jalan Pinhorn, Georgetown di Pulau Pinang dengan harga yang lebih rendah berbanding nilai harga pasaran semasa.

Semalam, pada sidang Dewan Rakyat, Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mendakwa rumah berkeluasan tanah 10,161 kaki persegi (943.98 meter persegi) didakwa dibeli Lim pada 25 Okt tahun lalu dengan harga RM2.8 juta.

Menurut Shabudin, nilai pasaran harga rumah berkenaan ialah dalam lingkungan RM6 juta hingga RM6.5 juta.

Lim dilaporkan telah menafikan dakwaan Shabudin itu.

Sementara itu, pemantau media sosial pasukan Sensible, Ethical Malaysian United Team (SEMUT) Malaysia hari ini membuat laporan polis terhadap Lim berhubung dakwaan pembelian rumah itu.

Pengerusinya, Zaparudin Abdul Rahim meminta SPRM mengambil tindakan tegas terhadap anggota Parlimen Bagan itu dengan bertindak secara adil dan profesional.

-- BERNAMA