Thursday 17 March 2016

Papan Tanda Bebaskan “Peliwat” Bermaharajalela Sejak Dapat Sokongan Mahathir

JamalProtesBillboardAnwar

Penduduk di negeri Selangor mesti sedar sejak kebelakangan ini, terdapat banyak papan tanda yang mengajak orang ramai menyokong kempen membebaskan pesalah liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim didirikan sekitar Selangor.
Antara papan tanda paling besar ialah di persimpangan masuk di bekas tapak Bengkel Transnasional berhampiran stesen LRT Jelatek yang benar-benar menjengkelkan.
Semalam, difahamkan berlaku sedikit kekecohan apabila pihak UMNO diketuai Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos dengan kumpulan dari Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkenaan papan tanda itu.
Kumpulan AMK bersungguh-sungguh mempertahankan papan tanda berkenaan manakala kumpulan Jamal meletakkan kain rentang berbentuk protes di papan tanda berkenaan sebagai bantahan kepada tindakan PKR cuba memancing simpati rakyat.
“Anwar Ibrahim adalah pesalah liwat yang telah dijatuhkan hukuman,” menurut ayat yang tertera pada kain rentang berkenaan.
Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang sudah didapati bersalah oleh mahkamah dan dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan kini sedang meringkuk di Penjara Sungai Buloh.
Tindakan PKR jelas kelihatan untuk mengajak rakyat sama-sama membuat kecoh dan mendesak apa sahaja organisasi berkaitan membebaskan Anwar seterusnya membolehkan beliau kembali aktif dalam politik dan kononnya mahu menjadi Perdana Menteri di negara ini.
Penduduk Selangor sebenarnya sudah muak dengan keadaan ini dengan PKR menggunakan papan-papan tanda besar di sekitar negeri itu untuk menjadikannya papan tanda kempen untuk membebaskan Anwar.
Sejak Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan Deklarasi Rakyat : Selamatkan Malaysia dan mengharapkan sokongan pembangkang serta menyokong kempen pembebasan Anwar, makin bermaharajalela papan tanda berkenaan dipasang sekitar Selangor.
Entah dari mana dana yang digunakan PKR untuk mewujudkan banyak papan tanda yang sepatutnya digunakan untuk memaparkan iklan perniagaan ataupun pesanan khidmat masyarakat tetapi disalahgunakan untuk mencabar sistem kehakiman.
Banyak pihak mewakili penduduk negeri Selangor perlu lebih banyak tampil dan menyuarakan bantahan kepada PKR daripada terus menjadikan Selangor negeri kempen membebaskan dan menyokong peliwat.