Monday 14 March 2016

Najib Mahu Felda Jadi Kuasa Besar Ekonomi





Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berucap melancarkan Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF), Buku Kesejahteraan Adiwangsa Felda, Tabung Misi Kemanusiaan Wada-Kemboja dan Program Prihatin Jantung Anda

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Felda menjadi sebuah kuasa besar ekonomi yang akan terus membela nasib peneroka sehingga ke generasi akan datang.

Beliau berkata impian kerajaan menubuhkan Felda bukan hanya untuk membela nasib generasi pertama sahaja, sebaliknya mahu ia dinikmati merentasi generasi kedua, ketiga dan seterusnya sehingga 100 tahun atau lebih daripada itu.

"Sebab itu kita buat bangunkan Felda, kita buat FGV (Felda Global Ventures Holdings Bhd), kita buat macam-macam untuk jadikan Felda ini sebagai satu kuasa besar ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Pertubuhan Kami Anak Felda (KAF), Buku Kesejahteraan Adiwangsa Felda, Tabung Misi Kemanusiaan Wada-Kemboja dan Program Prihatin Jantung Anda di sini, hari ini.

Selain menjadi kuasa besar ekonomi, Najib berkata kerajaan juga mahu Felda menjadi sebuah kuasa besar politik yang akan menjamin kelangsungan Felda.

Beliau berkata tanpa kuasa politik, Felda yang diasaskan oleh Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, tidak akan wujud.

"Kalau puak-puak yang baru-baru ini buat deklarasi, anda ingat mereka sayang Felda, anda ingat mereka ada hati yang baik buat Felda, memang mereka tidak," katanya.

Sebaliknya, kata Najib, pemimpin UMNO-lah yang menubuhkan Felda dan akan terus membela nasib peneroka.

Beliau turut yakin generasi kedua dan ketiga Felda akan mempertahankan kerajaan pada hari ini.

Perdana menteri berkata sokongan peneroka terhadap kerajaan adalah asas yang penting dalam kerajaan membangunkan Felda dan banyak lagi yang kerajaan sedang fikirkan untuk diberi kepada peneroka.

Terdahulu, Najib berkata faktor kejayaan Felda sebagai satu konsep pembangunan tanah bermula daripada pemimpin yang mempunyai hati yang baik untuk melihat masyarakat luar bandar dibangunkan.

"Di Felda ini, mereka yang tak ada tanah diberi tanah. Ingat apa yang Allahyarham Tun Razak sebut 'land for the landless'. Mereka yang tak ada tanah kita berikan tanah 10 ekar (4 hektar).

"Sehingga kini bukan sahaja dapat tanah, malah dapat rumah, sekolah, masjid dan peluang generasi kedua untuk mendapat pinjaman rumah," katanya.

Beliau berkata sebanyak RM1.41 bilion pinjaman tanpa faedah untuk membaik pulih rumah telah diluluskan Felda kepada 41,429 keluarga peneroka yang menerima RM40,000 setiap keluarga.

Katanya cerita kejayaan yang dicapai Felda hari ini semuanya berdasarkan perjuangan konsep Felda sejak 59 tahun dahulu yang bermula di Lurah Bilut dan ia tidak seharusnya berakhir hari ini.

Dalam ucapannya Najib turut menyentuh mengenai persepsi tidak betul yang dilemparkan terhadap beliau dan kerajaan.

Beliau mengambil contoh isu Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang kononnya tidak bersalaman dengannya dan menjadi viral baru-baru ini.

"Saya dijemput ke Istana, minum teh dengan Sultan, duduk sebelah dalam kereta yang dipandu sendiri oleh Sultan Johor. Tak kan nak turun dari kereta salam lagi, mestilah saya sudahpun bersalaman dengan baginda," kata Najib.

-- BERNAMA