Wednesday 23 March 2016

Mahathir Gagal Jatuhkan Najib Menerusi Politik



KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohammad ternyata gagal dalam percubaannya untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi saluran politik, apabila kini menggunakan proses perundangan.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata kegagalan itu seeloknya diakui sendiri bekas Perdana Menteri itu, malah beliau juga perlu akur bahawa rakyat dan pemimpin UMNO tidak bersamanya.

Beliau berkata, tindakan menyaman Najib juga tidak lebih sekadar ‘strategi politik’, apatah lagi jumlah tuntutan yang dikemuka adalah RM2.6 bilion, iaitu merujuk dana politik diterima Perdana Menteri.

“Apabila Tun pilih cara ini, maknanya dia sudah gagal pendekatan cara politik dia (untuk menjatuhkan Najib), sebab itu dia memilih cara perundangan. Dalam UMNO dia sudah terbukti tidak berjaya.

“Berdasarkan tuntutan (saman) yang dikemuka, saya rasa ini tidak lebih sekadar untuk dipolitikkan. (Tapi) kita anggap ini sebagai hak dialah, biarlah kalau dia mahu pilih jalan mahkamah sekalipun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan bersama Biro Publisiti MCA di ibu pejabat MCA, Jalan Ampang di sini, petang ini.

Mengulas pertemuan bersama Biro Publisiti MCA itu, Annuar berkata, ia adalah kunjungan bagi mengeratkan lagi kerjasama yang sudah sedia terjalin selama ini, disamping merangka beberapa lagi strategi yang boleh dibuat bagi memperkukuhkan Barisan Nasional (BN).

Katanya, rakyat perlu sedar dan mengakui bahawa tiada lagi parti alternatif yang wujud dalam negara ini boleh menggalas tanggungjawab membangunkan negara seperti yang dilakukan BN.

“Pakatan, walaupun mereka bersama tetapi jelas tidak menggambarkan ketulenan kerjasama yang erat. Mereka cuba tiru BN tetapi realitinya tidak (berlaku),” katanya. – BHarian