Tuesday 1 March 2016

Elak Reputasi Tercalar Dipecat UMNO, Mahathir Bijak Umum Dulu Keluar Parti


Tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk keluar dari UMNO dilihat adalah untuk mengelak maruah beliau tercalar andai dikenakan tindakan pecat keahlian UMNO oleh Jawatankuasa Disiplin kerana menentang Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak secara terang-terangan.
Sebagai ahli biasa dalam UMNO, beliau boleh dihadapkan ke jawatankuasa itu untuk menilai setiap dakwaan dan tuduhan jenayah yang dilemparkan kepada Najib sebelum diambil tindakan.
Melihat kepada ketegasan UMNO mengambil tindakan ke atas Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz yang juga anak Dr Mahathir, bekas pemimpin paling lama berkuasa itu sedar lambat laun dirinya akan dipecat.
Dengan rentetan reputasi baik sepanjang 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir, takkan semudah itu semuanya terpadam dek kerana tindakan dipecat dari parti.
Jumaat lepas, Muhyiddin telah digantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO sehingga saat pemilihan UMNO kelak manakala Mukhriz digantikan dengan orang lain beberapa minggu lepas.
Orang seperti Dr Mahathir pastinya sukar untuk menerima hakikat bahawa dirinya yang banyak berjasa kepada negara ketika menjadi Perdana Menteri keluar dari UMNO kerana dipecat keahliannya.
Drama beliau keluar UMNO sudah dua kali berlaku dengan kali pertama ketika zaman bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi… pada masa itu kerana Dr Mahathir tidak menyukai cara pentadbiran Abdullah.
Sepatutnya orang ramai sudah boleh agak drama sedemikian apabila Dr Mahathir menangis dalam satu Perhimpunan Agung UMNO mengumumkan peletakan jawatannya. Padahal sekarang ini, sibuk mencampuri urusan pentadbiran kerajaan seperti dirinya masih Perdana Menteri.
Dr Mahathir sebelum ini ada berkata, UMNO kini sudah jadi parti milik Najib. Soalnya, pernah ke Najib yang juga Perdana Menteri pernah meninggalkan UMNO sebab tidak sukakan seseorang seperti yang Dr Mahathir buat.
Bekas wakil rakyat Kubang Pasu itulah sebenarnya yang sudah anggap parti UMNO seperti parti dirinya sendiri kerana boleh keluar masuk buang keahlian seperti rumah peribadi tanpa mempedulikan kesan perpecahan yang berlaku dalam parti.