Tuesday 15 March 2016

Anggota TPA-M10 Angkat Martabat Malaysia Di Mata Dunia



Datuk Seri Laksamana Ahmad Kamarulzaman Badaruddin (dua, kanan) beramah mesra dengan anggota TPA-M10 pada majlis sambutan kepulangan dan pembubaran tim pemantau antarabangsa Mindanao ke-10 (TPA-M10) di Pengkalan Udara TUDM Subang
Anggota Tim Pemantau Antarabangsa - Mindanao 10 (TPA-M10) yang menjalankan misi pemantauan serta mengawasi proses gencatan senjata antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) berjaya mengangkat imej serta reputasi negara di mata dunia.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata Malaysia yang mengetuai TPA-M10 berjaya membantu mengurangkan insiden pertempuran secara drastik sejak penubuhannya pada 2004.

"Sebelum kewujudan TPA-M10, insiden pertempuran adalah tinggi sehingga mencecah 698 setahun pada 2002 namun berjaya dikurangkan sehingga mencapai angka sifar, sehinggalah tercetusnya insiden Mamasapano pada Januari 2015," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kepulangan dan pembubaran TPA-M10 di Pangkalan Udara Subang di sini, hari ini.

Enam belas anggota termasuk 10 pegawai Angkatan Tentera Malaysia diketuai Mejar Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan selamat tiba di tanah air dengan pesawat Hercules C-130 petang tadi.

TPA-M10 disertai 36 anggota dari Malaysia; Brunei; Indonesia; Jepun dan Norway telah melaksanakan misi selama 12 bulan bermula 13 Mac 2015.

Sementara itu, Sheikh Mokhsin berkata pihaknya melalui pengalaman yang mencabar dalam memastikan keamanan di sektor kawasan tanggungjawab meliputi Cotabato City; Lligan City; Zamboanga City dan General Santos City.

"Kita berada di tengah-tengah pihak bersengketa, namun kita mempunyai kelebihan kerana mempunyai budaya yang hampir sama dengan rakyat tempatan," katanya.

Katanya rakyat Filipina memandang tinggi peranan pasukan TPA-M10 dan memberi kerjasama yang baik sepanjang misi.

~Bernama