BATU PAHAT – Seorang pereka grafik dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini semalam atas tuduhan mengaibkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan menunjukkan isyarat lucah, pada Disember tahun lalu.
Hakim Azuar Che Yusof menjatuhkan hukuman tersebut terhadap tertuduh, Md. Aris Husin, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Mengikut pertuduhan, Md. Aris didakwa mengaibkan kehormatan Sultan Johor dengan menunjukkan isyarat lucah menggunakan jari tengah tangan kanannya di Kilometer 95 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini, pada pukul 11.20 pagi, 20 Disember tahun lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Saiful Edris Zainuddin dan Timbalan Pendakwa Raya, Mustaqim Sukarno manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Hezri Shaharil.
Terdahulu, menerusi kenyataan yang dibacakan Mohd. Hezri ketika prosiding berlangsung, tertuduh yang memakai baju kemeja bercorak kotak-kotak berwarna biru, merafak sembah memohon keampunan daripada Sultan Ibrahim di atas ketelanjurannya.
“Saya memohon ampun dan maaf kerana perbuatan saya melukakan hati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan rakyat Johor secara keseluruhannya, saya benar-benar insaf di atas ketelanjuran ini dan bersedia menerima hukuman di atas tindakan saya itu.
“Dengan ini saya dengan rendah hati memohon ampun kepada Tuanku dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya. – Utusan