Monday 28 March 2016

Akibat Kemaruk Nafsu Politik, Mahathir Rela ‘Kahwin Kontrak’ Dengan Pembangkang Kata Exco Pemuda



Exco Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin menyifatkan Perhimpunan Kongres Rakyat yang disertai oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam sebagai tiada isu baru dan hanya medan untuk menyerang pemimpin kerajaan.

Menurut Nazir perhimpunan tersebut hanya memberi manfaat kepada parti politik pembangkang untuk memutarkan kembali isu basi yang telah bebarapa kali dijawab sebelum ini semata-mata untuk menghasut pemikiran rakyat.

“Pergerakan Pemuda UMNO yakin, rakyat yang matang tidak akan mudah menerima bulat-bulat dakwaan dan fitnah yang dilemparkan pada ucapan-ucapan sepanjang perhimpunan itu yang kebanyakannya dibuat secara membuta-tuli dan tanpa bukti kukuh.

 nazir kongres rakyat

“Kita juga kesal kerana Dr Mahathir dan Muhyiddin serta bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sanggup bersekongkol dengan pemimpin pembangkang untuk menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya melalui kenyataan yang dihantar kepada SuaraTV.

Beliau turut menegaskan Pergerakan Pemuda UMNO akan berdiri teguh di belakang Najib dan akan membuktikan bahawa dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kepada beliau hanyalah taktik kotor pembangkang.

“Sedangkan rakyat mengetahui bahawa pemimpin pembangkang juga berdepan dengan pelbagai isu dan salah laku antaranya membabitkan pembelian rumah banglo di bawah harga sebenar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

“Malah PKR juga masih dengan matlamat mereka yang satu iaitu untuk membebaskan Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan atas tuduhan melibat pembantu peribadinya, bukan untuk memperjuangkan nasib rakyat.

 

“Lebih menghairankan, perhimpunan tersebut tidak disertai oleh pemimpin Pas yang sebenarnya sudah dapat melihat bahawa ia hanya agenda yang hanya menguntungkan DAP,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan himpunan semalam sebagai ‘kahwin kontrak’ yang tiada hala tuju tetapi hanya untuk memenuhi nafsu politik masing-masing sahaja.

“Kesemua pemimpin yang berada di atas pentas kongres itu sama ada pemimpin pembangkang atau bekas pemimpin kerajaan disatukan atas dasar kebencian terhadap kepimpinan kerajaan semata-mata dan tamakkan kuasa kerana masing-masing mempunyai ideologi yang berbeza.

“Dalam ucapan-ucapan mereka juga, tidak ada perancangan khusus untuk membawa negara ini ke arah yang lebih baik daripada kepimpinan sedia ada, sebaliknya pesta ‘bogel-membogel’ keburukan yang hanya merosakkan pemikiran rakyat” katanya lagi