Cadangan itu juga tertakluk kepada pemilik kenderaan yang membenarkan individu tidak berlesen memandu kenderaan mereka sebagai contoh ibu bapa yang membiarkan anak-anak menunggang motosikal tanpa lesen ke sekolah.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat sebagai usaha untuk memastikan semua pengguna jalan raya mempunyai lesen memandu dan tidak mengambil mudah tanggungjawab tersebut.
Ujarnya, cadangan itu juga untuk mengurangkan kes kemalangan dan kemalangan maut yang keba­nyakannya melibatkan pengguna jalan raya yang tidak berlesen.
“Kebanyakan kes kemalangan maut dan kecederaan parah yang dilaporkan berpunca daripada mereka yang tidak mempunyai le­sen sebagai contoh kes pelajar yang putus kaki akibat digilis pemandu lori tidak berlesen di Sabak Bernam, Selangor.
“Jadi selepas ini tiada lagi kompaun dan belas kasihan, terus ke mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Bukit Aman di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai cadangan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menyediakan trek perlumbaan motosikal di kawasan tertentu di ibu negara bagi mendidik anak muda agar tidak terlibat dalam lumba haram, Khalid memberitahu, beliau percaya terdapat alasan munasabah perkara itu dibuat.
Ujarnya, pihaknya berhasrat untuk menemui Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung cadangan itu.
“Saya enggan mengulas lanjut, tetapi saya akan berjumpa menteri tersebut dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan beliau me­ngenai perkara ini.
“Ini kerana, masalah rempit ini macam tiada penghujungnya memandangkan anak-anak muda sememangnya gemar merempit,” tegasnya.
Tahun lalu, PDRM bercadang mengambil tindakan tegas terma­suk menggunakan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 ke atas ibu bapa atau penjaga yang didapati cuai membiarkan anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen.
Langkah itu dibuat berikutan insiden kemalangan maut melibatkan pelajar berusia 16 tahun ke bawah semakin serius.
Baru-baru ini, PDRM turut mencadangkan kepada kerajaan untuk menaikkan kadar kompaun kesalahan trafik.
Cadangan itu akan dikemukakan ekoran sikap pesalah lalu lintas yang masih terus melanggar undang-undang walaupun telah beberapa kali disaman dan membayar kompaun. - Utusan online