Thursday 11 February 2016

Terima dividen: Tabung Haji Buka Kaunter Tambahan


Orang ramai mula membanjiri kaunter Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) di Jalan Tun Razak untuk mengemas kini akaun mereka selepas pengumuman me­ngenai kadar dividen dibuat pada 4 Februari lalu.
Pengurus Besar Khidmat Pelanggan, Bahagian Perkhidmatan Pendeposit dan Operasi Tabung Haji, Mohammad Saimi Mat Som berkata, berikutan sambutan menggalakkan itu, pihaknya menyediakan empat kaunter tambahan bagi melicinkan proses di 12 kaunter sedia ada.
“Orang ramai juga boleh mengemas kini akaun mereka di mana-mana Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) serta melalui sistem dalam talian iaitu ‘e-thdijari’.
“Selain itu, kami juga ada membuka kaunter semakan yang bero­perasi dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam setiap hari di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Me­laka, Johor, Kuching, Perak, Pahang dan Kedah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hari ini, seramai 8.85 juta pendeposit Tabung Haji sudah boleh mengemas kini akaun mereka sempena pengumuman bonus seba­nyak lima peratus bagi tahun kewangan 2015.
Tabung Haji turut memberi tambahan bonus haji sebanyak tiga peratus kepada 8.23 juta pendeposit atau 93 peratus daripada jumlah keseluruhan pendeposit yang masih belum menunaikan haji.

Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Zainol Aznan Hashim, 70, berkata, walaupun dividen yang diterima pada tahun ini lebih sedikit berbanding tahun sebelumnya, dia masih berpuas hati dengan jumlah yang diterima.
“Kita juga harapkan Tabung Haji akan lebih kukuh selain mampu mem­beri faedah yang lebih kepada pendepositnya pada masa akan datang,” katanya yang ditemui ketika menunggu giliran mengemas kini akaun.
Suri rumah, Asnas Mohd. Diah, 62, pula berkata, keyakinan terhadap kredibiliti Tabung Haji menguruskan kewangan pendepositnya masih re­levan sehingga kini walaupun menga­kui kurang berpuas hati dengan dividen yang diterimanya.
“Ini kerana, Tabung Haji adalah antara syarikat pelaburan Islamik yang mendapat jaminan daripada kerajaan,” kata beliau.
Ditanya tentang potensi Tabung Haji pada masa akan datang, Nety Hana Bostamam, 31, yang merupakan juruukur bahan menyifatkan peranan mereka menguruskan pelaburan untuk kebanyakan orang Islam perlu diteruskan walau apapun yang berlaku.
Katanya, selain memudahkan orang ramai dalam menguruskan zakat harta dan pendapatan, Tabung Haji juga perlu menjanjikan perkhidmatan yang meyakinkan kepada orang Islam.
“Peranan sewajarnya perlu diambil bagi mendapatkan semula kepercayaan orang ramai berikutan khabar angin yang tersebar di media sosial mengenainya baru-baru ini,” katanya.
Utusan