Friday 5 February 2016

Petrol Murah : Rakyat Tertunggu-Tunggu Peniaga Umum Turun Harga Barang

HARGA-TERBARU-PETROL-RON95-RON97-DAN-DIESEL-BERMULA-1-DISEMBER-2015

Bulan ini, harga minyak RON95 ditentukan pada harga RM1.75 sen seliter turun sebanyak 10 sen mengikut sistem Apungan Terkawal manakala harga RON97 diturunkan sebanyak 20 sen menjadi RM2.05 dan diesel pula diturunkan 25 sen menjadi RM1.35 sen seliter.

Bagaimanapun, dalam kalangan para peniaga yang dahulunya mengatakan terpaksa menaikkan harga barang jualan kerana harga minyak naik, belum seorang pun yang menurunkan harga jualan runcit produk mereka.
Bukanlah pengguna mendesak harga berkenaan diturunkan terus untuk masa beberapa tahun tetapi cukuplah jika ia diturunkan sepanjang masa harga minyak di dalam negara diturunkan kepada paras rendah.
Ikutlah seperti konsesi tol yang mengambil inisiatif memberikan diskaun dan rebat kepada pengguna lebuh raya yang menggunakan kemudahan berkenaan sewaktu musim perayaan, memang terasa penjimatannya.
Antara peniaga yang dilihat boleh menyumbang kepada penjimatan besar pengguna jika menurunkan harga ialah pengusaha restoran mamak, pengeluar produk makanan dan minuman serta barang keperluan bayi seperti susu dan lampin pakai buang.
Sebelum ini peniaga merungut kerana harga minyak naik dan ia membebankan mereka untuk menanggung kos penghantaran barangan dari kilang kepada peruncit. Kini, harga Diesel sudah pun jatuh sehingga paras RM1.35 sen dan ia pastinya mampu ditanggung oleh para peniaga.
Oleh itu, peniaga mana yang mahu memulakan langkah menurunkan harga runcit mereka sebagai penghargaan kepada pelanggan yang sentiasa mendapatkan bekalan barangan dari mereka.
Apabila harga minyak mentah dunia kembali meningkat, tingkatkan sahaja kembali harga barang berkenaan seperti yang asal.
Antara barangan yang mungkin akan memberi kesan positif kepada rakyat jika diturunkan ialah harga bahan basah seperti ikan, sos cili dan tomato, sardin, kicap dan mungkin bahan makanan lain antaranya ayam dan daging.
Kebanyakan pasar raya besar sudah pun mengamalkan pemberian diskaun atau harga yang lebih rendah untuk barang keperluan kepada orang ramai.
Ada juga yang memberikan harga yang murah kepada stok bahan basah seperti udang, ikan dan daging yang hampir sampai ke peringkat kurang segar untuk segera dibeli oleh pelanggan.
Soalnya, mana lagi peniaga lain yang hendak turunkan harga demi kepentingan rakyat, kerajaan sudah menjalankan tugasnya menurunkan harga minyak selari dengan harga pasaran minyak mentah dunia. Peranan peniaga, bila lagi??