Monday 22 February 2016

PAS DESAK KERAJAAN PULAU PINANG HAPUSKAN PUSAT HIBURAN DAN KEGIATAN MAKSIAT SEGERA



Kongres Rakyat Pulau Pinang anjuran PAS hari ini mengeluarkan resolusi mendesak kerajaan DAP Pulau Pinang menangani kewujudan pusat-pusat hiburan, rumah urut, kegiatan maksiat dan gengsterism yang semakin pesat di negeri itu.
Pengarah Kongres Rakyat Pulau Pinang, Yusni Mat Piah berkata, kongres itu turut mengeluarkan resolusi menggesa kerajaan negeri itu memainkan peranan untuk membantu rakyat menghadapi kenaikan kos sara hidup terutama pekerja dalam sektor industri.
“Kongres juga memberi perhatian terhadap pembelaan hak dan tanggungjawab kepada peniaga-peniaga Melayu dalam mengurangkan jurang ekonomi dan penindasan serta menyediakan peluang perniagaan yang sama terhadap semua kaum demi melahirkan Pulau Pinang yang adil untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Yusni berkata, Kongres Rakyat Pulau Pinang turut mengeluarkan resolusi mendesak kerajaan negeri nemastikan sumber negeri itu diurus dengan berkesan dan menghindari pembangunan yang menjejaskan kualiti alam sekitar.
Katanya, resolusi menuntut kerajaan DAP Pulau Pinang meneliti segala dasar dengan mengambil kira faktor ekonomi semasa dan kepentingan rakyat berkaitan sumber air, hasil laut serta sektor perikanan bagi mengelak dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, kongres berkenaan turut meminta kerajaan DAP Pulau Pinang mentadbir urus negeri itu dengan amanah dan berintegriti demi kebajikan rakyat serta mengekang segala amalan rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran wang awam.
Jelas beliau, kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menginsafi rakyat mempunyai hak untuk bersuara dan menegur pemerintah yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna dan menuntut supaya salah pentadbiran kerajaan diperbaiki.