Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan yang disemak semula sebagai panduan bagi pengurusan biodiversiti untuk tempoh 10 tahun akan datang bermula 2016.
Dasar itu memberi penekanan tentang kepentingan meneruskan usaha pemuliharaan, penggunaan secara mapan dan perkongsian manfaat daripada biodiversiti secara adil dan saksama, kata beliau ketika berucap pada sidang pleno keempat Platform Antara Kerajaan bagi Perkhidmatan Biodiversiti dan Ekosistem (IPBES) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Najib berkata dasar itu menggariskan dengan jelas sasaran, tindakan dan urutan masa yAng ditetapkan serta menuntut penyertaan aktif semua pemegang taruh, termasuk kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan.
“Dasar yang disemak semula ini menjadi pelengkap kepada tanggungjawab Malaysia mengikut Konvensyen mengenai Kepelbagaian Biologi Pertubuhan Bangsa Bersatu dan dalam mencapai matlamat pembangunan mapan,” katanya.
Majlis itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan pengerusi IPBES Prof Zakri Abdul Hamid.
Sejajar dengan itu, jelas beliau, Malaysia mengambil langkah untuk memulihara biodiversiti melalui insiatif nasional dikenali sebagai “Central Forest Spine” yang menghubungkan empat kompleks hutan utama, yang membentuk banjaran tulang belakang semenanjung Malaysia.
Perdana Menteri berkata, kerajaan Sabah juga merancang untuk menambah keluasan kawasan yang dilindunginya dengan mewujudkan Taman Marin Tun Mustapha, kawasan hutan simpan terbesar negara ini dengan jumlah keluasan hampir satu juta hektar.
Najib berkata, di peringkat serantau pula, Malaysia berganding bahu dengan Indonesia dan Brunei dalam inisiatif “Jantung Borneo” untuk memulihara kira-kira 200,000 km persegi hutan, yang lebih kurang 30 peratus daripadanya berada di Malaysia.
“Dan, seperti biasa, masih ada ruang untuk diperbaiki. Sains boleh memberi banyak jawapan terhadap masalah pembangunan mapan hari ini.
“Kita perlu memanfaatkan kepakaran komuniti saintifik untuk menyediakan opsyen dan senario agar para pemimpin boleh menggubal dasar yang lebih baik,” katanya.
Najib berkata Malaysia giat berusaha untuk mencapai keseimbangan antara pembangunan sosioekonomi dengan kesejahteraan alam sekitar, khususnya berkaitan pemuliharaan biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem.
Malaysia mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam mencari keseimbangan yang diperlukan bagi mewujudkan pembangunan yang amat diperlukan, tanpa mengorbankan alam semula jadi, katanya.
Beliau berkata, sebagai usaha mengurangkan kemiskinan, Malaysia memperkenalkan skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada 1956, memugar hutan untuk mewujudkan kebun kecil getah dan sawit untuk golongan yang tidak memiliki tanah.
“Sejak awal lagi, kerajaan kami sedar bahawa satu-satunya cara yang akan membolehkan rakyat membebaskan diri mereka daripada lingkaran kejam kemiskinan ialah melalui pembangunan secara terancang dan terselaras bagi memastikan kemajuan ekonomi bergerak seiring dengan pembangunan sosial,” katanya.
Najib berkata pembangunan melalui pembukaan tanah untuk pertanian, penempatan manusia, perindustrian dan pengangkutan, mempunyai kesan besar terhadap persekitaran alam semula jadi.
Dasar yang disemak semula ini bertujuan memastikan 17 sasaran biodiversiti kebangsaan, termasuk sekurang-kurangnya 20 peratus kawasan daratan dan perairan darat serta 10 peratus kawasan pantai dan marin, berjaya dipulihara menjelang 2025.
Ia juga akan memastikan kegiatan memburu secara haram, penuaian dan perdagangan secara haram hidupan liar, ikan dan tumbuh-tumbuhan adalah terkawal dan dapat dikurangkan dengan banyaknya, manakala hutan pengeluaran, keluaran pertanian dan perikanan pula diurus dan dituai secara lestari.
Mengenai perkara berasingan, Najib berkata kemajuan telah dicapai dalam mencari langkah konkrit untuk menangani kejadian jerebu yang berulang di rantau ini.
Beberapa bulan lepas, pada mesyuarat ketua-ketua penasihat sains dari negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, Perdana Menteri meminta agar penyelesaian dicari bagi mengatasi masalah jerebu yang melanda negara Asia Tenggara sejak 18 tahun lepas.
“Saya dimaklumkan bahawa kumpulan itu mencapai kemajuan dan saya berharap, tidak lama lagi, kita akan dapat menentukan langkah konkrit yang boleh diambil untuk menangani malapetaka yang berulang terhadap alam sekitar ini,” katanya.