Pada tanggal 29 Februari 2016, secara kebetulan tahun lompat pada tahun ini, Tun Dr Mahathir Mohamed, individu yang pernah mentadbir Malaysia dan UMNO selama 22 tahun, akhirnya mengumumkan, telah keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta merta.
Antara alasan yang beliau berikan adalah, beliau sudah hilang keyakinan terhadap UMNO hari ini yang beliau sifatkan sebagai satu parti hak milik sepenuhnya Datuk Seri Mohd Najib, Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Dalam perkembangan yang sama, pasti ramai yang tertanya-tanya, bagaimana nasib dan arah haluan Tan Sri Muhyiddin, Datuk Seri Mukhriz, Datuk Seri Shafie dan lain-lain lagi yang masih memegang kad keahlian UMNO sejak mereka mula berkecimpung dalam arena politik. Adakah mereka masih mahu kekal didalam UMNO atau mereka memilih untuk "sehidup semati" dengan Tun M.
Tan Sri Muhyiddin, bekas Timbalan Presiden UMNO, dalam banyak kenyataan beliau menegaskan, beliau tidak akan sesekali meninggalkan UMNO. Ungkapan ini beliau lafazkan lebih daripada tiga kali. Beliau yang secara nyata memperjuangkan apa yang diperkatakan oleh Tun M ini nampaknya bakal kehilangan arah.

Apa yang pasti, kedua-dua mereka sehingga kini masih belum menyatakan pendirian mereka. Namun, jika diambil dari tingkah laku mereka sebelum ini, dijangkakan, mereka akan kekal didalam UMNO dan hanya menunggu Majlis Tertinggi UMNO dan Jawatankuasa Disiplin UMNO membuang mereka dari UMNO.
Justeru, kelibat mereka pastinya ditagih Tun M untuk menjadi mata-mata beliau didalam UMNO dan seterusnya memberi peluang untuk beliau melancarkan serangan terhadap Datuk Seri Mohd Najib dari luar UMNO.

Adakah mereka-mereka ini masih mempunyai maruah untuk kekal dalam UMNO walaupun setiap hari zikirnya adalah menghentam Datuk Seri Mohd Najib? terpulang bagi mereka-mereka ini, samada masih ingin bersama atau keluar bersama-sama dengan Tun M, idola mereka-mereka ini sepanjang hayat.