Thursday 18 February 2016

Kerajaan Akan Buat Keputusan Penggantian Gabenor Bank Negara - Najib


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan membuat keputusan dalam masa terdekat berkenaan perancangan untuk menggantikan Gabenor Bank Negara.
Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia ketika di San Francisco, Amerika Syarikat untuk mengakhiri lawatan seminggu beliau di negara Uncle Sam itu, hari ini (Rabu di Malaysia).
Najib berkata, kerajaan yang perlu buat keputusan berhubung dengan perkara itu.
Beliau diminta oleh wakil media memberikan reaksinya berkenaan pelan pengganti dan kenyataan Gabenor Bank Negara ketika ini Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang meramalkan kontraknya sebagai Gabenor tidak mungkin akan disambung.
“Ia mungkin tidak akan berlaku,” katanya ringkas.
Zeti berkata selepas menamatkan perkhidmatannya beliau merancang untuk memberi sumbangan dalam bentuk penulisa kepada badan-badan pendidikan kewangan yang disokong Bank Negara Malaysia seperti Pusat Pendidikan Antarabangsa Kewangan Islam (INCEIF) dan Pusat Kepimpinan dan Urus Tadbir (Iclif).
“Saya akan berehat sementara dan kembali untuk menyumbang dari segi penulisan kepada pertubuhan-pertubuhan di bawah BNM dan membantu bank pusat ini dalam perancangan untuk melancarkan pusat pendidikan kewangannya.
“Saya tidak akan memegang apa-apa jawatan lagi bersama BNM,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Platform Akaun Pelaburan (IAP) melibatkan enam bank Islam tempatan di ibu negara, hari ini.
Naib Presiden Affin Hwang Investment Bank dan Ketua Penyelidikan Runcit Dr Nazri Khan pula berpendapat calon Gabenor Bank Negara akan datang hendaklah merupakan tokoh yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta bukan ahli politik.
Calon berkenaan adalah lebih baik tidak dipengaruhi oleh sentimen politik sebaliknya beliau perlu bebas dan profesional dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai Gabenor Bank Negara bagi mengelakkan ia memberi kesan kepada keyakinan pelabur.