Thursday 18 February 2016

JAKIM Tiada Kuasa Serbu Restoran Pamer Perkataan ‘Tiada Babi’ Atau ‘No Pork’


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan pihaknya tiada kuasa untuk menyerbu serta bertindak ke atas premis makanan yang mempamerkan perkataan “Tiada Babi” atau “No Pork”.
Ketua Pengarahnya Datuk Othman Mustapha berkata serbuan dan tindakan adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
“Sememangnya Jakim, jabatan agama Islam negeri, KPDNKK dan dengan agensi-agensi lain berkaitan (penguatkuasaan) mempunyai jawatankuasa khas berkaitan tanda halal ini,” kepada ketika ditemui pemberita pada hari ketiga Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-37 di Ipoh, hari ini.
Othman berkata pensijilan halal adalah secara sukarela dan mana-mana pihak yang ingin memohon, mereka perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Istilah ‘No Pork’ itu memberitahu pengguna yang tidak makan babi bahawa premis berkenaan tiada babi. Dari segi (istilah) tanda halal, ia bukan sahaja merangkumi aspek babi, malah ayam yang tidak disembelih (mengikut syariat),” jelasnya.
Beliau berkata sebagai umat Islam, pengguna perlulah menggunakan budi bicara sendiri memilih premis restoran yang mempamerkan logo halal yang dikeluarkan JAKIM untuk mengelakkan sebarang rasa ragu-ragu.
Baru-baru ini viral di laman sosial berkenaan restoran kendalian orang bukan Islam yang dikatakan cuba mengelirukan umat Islam dengan mempamerkan perkataan berkenaan dan bukannya mendapatkan sijil halal dari JAKIM.
Apakah sebagai umat Islam, kita sudah kurang matang sehingga perkataan itu juga hendak dituduh pengendali restoran berniat mengelirukan kita? Mungkin ia ditujukan kepada bangsa lain yang tidak makan babi seperti yang diterangkan oleh Othman dalam keterangannya.