Friday 19 February 2016

Cadangan Guna Ganja : Umat Islam Banyak Lagi Cara Lain Hilangkan Tekanan


Pelbagai cadangan untuk membenarkan penggunaan ganja untuk menghilangkan tekanan akibat beban kos sara hidup sebenarnya hanyalah jalan mudah dalam kes memenuhi tindakan matlamat yang menghalalkan cara.
Pengerusi Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ) Datuk Dr Nooh Gadut berkata paling penting rakyat Islam di negara ini perlu berkiblatkan Al-Quran dan Al-Sunnah jika mahu mencari ketenangan selepas dibelenggu masalah dan tekanan hidup.
“Kita perlu balik kepada ajaran agama. Kita bukan di negara Eropah atau berfikiran liberal. Bukan kita tidak ada jalan lain lagi.
“Ganja bukan penawar kepada masalah tekanan akibat kos sara hidup. Saya akui ia ubat yang boleh digunakan pakar untuk mengubati penyakit. Jangan jadikan alasan menggunakan ganja itu untuk menghalalkan cara.
“Dalam Islam sendiri sudah ada banyak cara, bukan gunakan ganja untuk hilangkan stress. Konsepnya seperti pergi mencuri duit untuk buat masjid atau merompak seperti ‘Robin Hood’ untuk bantu orang lain. Ini salah,” katanya menurut laporan laman web Astro Awani, hari ini.
Beliau memberikan reaksi kepada kenyataan dari Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka dalam Bahagian Pandan Syed Rosli Jamalullail yang mahu kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk rakyat menggunakan ganja.
Permintaan itu juga merangkumi meminda sebarang larangan undang-undang melibatkannya atau marijuana yang pernah dibuat sebelum ini.
Menurutnya, ganja telah jelas membuktikan tidak menjadikan penghisapnya agresif atau hilang pertimbangan seperti yang berlaku kepada mereka yang mengambil alkohol berlebihan.
Nooh yang juga bekas Mufti Johor berkata, rakyat perlu melihat diri sendiri untuk mengenal pasti punca masalah dan tekanan yang dihadapi.
“Seperti di negara kita, banyak peluang yang ada namun tidak diambil kesempatan oleh rakyat sendiri. Sebaliknya ia menjadi lubuk kekayaan yang dilihat oleh pekerja luar.
“Pada saat hasil negara kita dituai pekerja asing, apakah kita mahu melihat rakyat sendiri hanya menghisap ganja semata-mata kononnya mengalami tekanan kos sara hidup?
“Fikirkan kesan sampingan penggunaan ganja. Setiapa ubat ini ada kesannya tersendiri. Seharusnya dia menjaga agama, jaga diri dan bukan merosakkan keturunan seterusnya,” katanya.