Monday 8 February 2016

Kenyataan Mukhriz, Samada Dungu Atau Buat Tidak Tahu

images (33)

Seperti sedia maklum, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telahpun berundur dari jawatan beliau selaku Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah sejak 3 Februari lepas. Pada pengumuman perletakkan jawatan beliau, beliau ada menyatakan bahawa beliau kini lebih “bebas” dalam menyuarakan apa sahaja pandangan beliau terhadap pelbagai isu yang melanda negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.


Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh beliau semalam, beliau secara berterusan memainkan isu 1MDB yang secara umumnya telah menemui jalan penyelesaiannya, menerusi rasionalisasi yang diperkenalkan oleh Pengerusi dan Ketua Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sejak tahun lalu.


Beliau sekali lagi menjual nama institusi Di Raja kedalam kemelut ini. Seolah-olah masih menyimpan dendam kesumat, beliau mengungkit semula teguran Majlis Raja-Raja yang bersidang tahun lalu mengenai kebimbangan pihak Istana terhadap kemelut berterusan 1MDB dan meminta pihak-pihak yang berkaitan untuk menyiasat secara terperinci apa yang berlaku di dalam 1MDB.
Apa yang tidak difahami oleh Mukhriz dalam hal ini ialah, siasatan penuh dari pelbagai pihak samada dari pihak SPRM, PDRM, Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia berhubung telah dimulakan sebelum pihak Majlis Raja-Raja mengumumkan kebimbangan mereka berhubung isu ini.
Malah, siasatan bukan sahaja melibatkan badan-badan kerajaan, malah Parlimen juga telah menubuhkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang kini dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hassan Arifin dan dianggotai oleh pelbagai pihak samada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang dalam menyiasat secara terperinci perjalanan 1MDB sejak ianya ditubuhkan.
Mungkin Mukhriz tertinggal akan perkara ini kerana Datuk Hassan Arifin telah mengumumkan bahawa piha PAC akan membaca sepenuhnya kertas siasatan 1MDB di Parlimen pada bulan Mac ini. Adakah ini tidak cukup telus bagi Mukhriz? Beliau mengharapkan siasatan penuh dilakukan dan siasatan penuh, telahpun dilakukan oleh PAC yang kesemuanya mewakili rakyat di negara ini.


Paling utama, kesemua hasil siasatan yang dilakukan oleh PDRM, SPRM, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara, sebenarnya telahpun diserahkan kepada Peguam Negara untuk dinilai dan diperhalusi. Jika hasil siasatan dari pihak berwajib ini juga di pertikaikan oleh Mukhriz, ini menampakkan beliau mempertikaikan nilai intergriti SPRM, PDRM, Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara dalam melakukan siasatan.
Andai ini dipertikaikan oleh Mukhriz, badan apa lagi yang beliau boleh percaya? Adakah dengan menurut setiap kata beliau dan ayahnya, Tun Dr Mahathir barulah dikatakan hasil siasatan berkenaan penuh intergriti dan telus? Untuk pengetahuan Mukhriz dan Tun M sendiri, bukan hanya SPRM, PDRM, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara sahaja yang menyiasat kes 1MDB, malah Jabatan Audit Negara, Delloite dan beberapa agensi pengauditan luar negara turut melakukan siasatan mereka yang tersendiri.
Paling utama, kesemua siasatan ini diarahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Beliau harus memahami bahawa 1MDB adalah sebuah syarikat pelaburan penuh milik Kerajaan dimana sedikit sebanyak turut mengheret Datuk Seri Mohd Najib selaku ketua pentadbir kerajaan Malaysia pada hari ini.
Justeru bukan sesuatu yang ganjil apabila Perdana Menteri sendiri mengarahkan siasatan dilakukan dengan telus. Permasalahan disini, samada beliau mahupun Tun M dan lain-lain lagi terus menerus mempolitikkan perkara ini. Masing-masing mendakwa 1MDB merupakan satu syarikat yang korup dan penuh hutang serta menggadaikan aset negara kepada pihak luar.


Arul Kanda dalam satu kenyataan pernah menyatakan bahawa 1MDB seolah-olah sebuah buku terbuka dimana semua orang boleh menilai dan menyelidik setiap transaksi yang dilakukan oleh 1MDB. Malah, beliau turut mempelawa sesiapa sahaja termasuk Tun M dan beliau sendiri untuk datang ke 1MDB untuk melihat sendiri kesemua urus niaga yang telah dilakukan.
Hari ini, 1MDB telah melalui fasa peralihan. Hutang 1MDB sebanyak RM 41.8 bilion sudah semakin hampir dilangsaikan menerusi penjualan aset edra energy, hartanah dan pelaburan. Apa yang tidak difahami Mukhriz adalah, tiada satu sen pun wang RM 41.8 bilion ini diambil dari aset negara kecuali modal asas sebanyak RM 1 juta secara bon yang diberikan oleh kerajaan.
Mengenai cadangannya meminta Majlis Raja-Raja menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja, tiada apa salahnya. Baik bagi pihak Datuk Seri Mohd Najib sehingga pengurusan 1MDB, sentiasa mengalu-alukan sebarang siasatan baru kerana jelas mereka langsung tidak gentar dengan sebarang siasatan yang dilakukan. Namun, sejauh mana mereka terutamanya Mukhriz boleh menerima kebenaran yang akan didedahkan hasil daripada siasatan ini?
Pemecatan Mukhriz dari jawatannya sebagai Menteri Besar sebenarnya bukan hanya berlandaskan ucapan “bengapnya” di Saloma Bistro Disember lalu. Sebenarnya, kesemua Ketua Menteri dan Menteri Besar di negeri yang dikuasai Barisan Nasional mempunyai indeks pertunjuk prestasi (KPI) merek ayang tersendiri. Ada badan pemantau yang memantau perjalanan pengurusan negeri mereka bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional.


Mukhriz mungkin tidak menyedari bahawa beliau sebenarnya telah dianggap gagal mentadbir Kedah sejak memegang jawatan berkenaan sejak tahun 2013. Beliau banyak menabur janjinya di negeri Kedah seperti mahu mewujudkan litar lumba bertaraf antarabangsa, menjadikan Kedah sebagai hub getah negara, menaikkan taraf kehidupan warga Kedah dengan menjanjikan pelaburan besar dari luar negeri Kedah dan Malaysia dan banyak lagi.
Tidak perlu memandang jauh tentang pencapaian negeri. Lihat sahaja negeri jiran Kedah, Perak. Seperti yang dijanjikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Di Raja Dr Zambry Kadir, beliau menjanjikan negeri Perak bangkit menjadi antara negeri yang menjanjikan kemajuan kepada rakyatnya sebaik sahaja mengemudi Perak pada tahun 2010. Hasilnya, dalam masa setahun, beliau telah menarik pelaburan yang besar kepada negeri.
Namun di Kedah, Mukhriz sentiasa melaungkan akan membawa masuk kemajuan kedalam negeri. Namun dalam beberapa ucapan beliau samada di Sidang DUN mahupun diluar siding, beliau sentiasa menyatakan Kedah adalah negeri termiskin. Beliau menpunyai perancangan jangka panjang untuk memajukan negeri Kedah. Namun sehingga beliau meletakkan jawatan, tiada satu pun perancangan beliau dibawa kepada pengetahuan Kementerian Kewangan untuk di pertimbangkan.
Adakah ini yang dikatakan kemajuan pada mata Mukhriz? Adalah tidak benar andai Mukhriz mendakwa, punca pemecatannya adalah kerana ucapan “bengapnya” di Saloma Bistro. Banyak kegagalan yang disumbangkan oleh Mukhriz termasuk gagal merapatkan semula UMNO negeri, bertindak mengagungkan perjuangan ayahnya yang secara terang-terangan mengajak perpecahan dan lain-lain lagi.


Mukhriz harus sedar, setiap dakwaan beliau sebenarnya telah lama diselesaikan. Mungkin beliau terlepas pandang akan hal ini sewaktu sibuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Alor Setar setiap minggu. Masa yang diluangkan beliau lebih banyak di luar negeri Kedah berbanding menguruskan kemajuan negeri yang ditadbir oleh beliau.
Jadi tidak menghairankan apabila Mukhriz tidak menyedari bahawa sudah terlalu banyak badan kerajaan dan pihak luar serta Parlimen sendiri telah menyiasat 1MDB. Malah, beliau juga mungkin pening memikirkan keluarga beliau di Kuala Lumpur berbanding pening memikirkan bagaimana mahu membawa kemajuan ke negeri Kedah dan merapatkan semula saf kepimpinan UMNO negeri.
Jelas, tiada apa yang salah dalam kenyataan Mukhriz semalam. Beliau banyak pening memikirkan keluarga dari pentadbirannya di Kedah. Beliau telah lama hanyut dalam peningnya sehingga terlupa, banyak perkara telahpun diselesaikan. Atau mungkin Mukhriz sengaja mahu meraih perhatian supaya para penyokongnya tidak melupakan kewujudan insan bernama Mukriz Bin Mahathir.

By Samurai Biru February 8, 2016 : 12:48 pm