Wednesday 10 February 2016

EXCO KEDAH DIBINCANGKAN HARI INI

10 FEB: Spekulasi siapa yang bakal dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri Kedah bakal terjawab apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya pada Rabu.

Pertukaran menteri besar turut melibatkan rombakan kepada jawatan-jawatan exco kerajaan negeri.

Ahmad Bashah telah dilantik sebagai menteri besar Kedah yang ke-12, pada Khamis 4 Februari mengantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang melepaskan jawatannya sehari sebelum itu ekoran kehilangan sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri apabila undian sulit di hadapan ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah telah diperolehi dari kesemua ahli dewan Barisan Nasional dan Pembangkang.

Ahmad Bashah yang ditemui di kediamannya telah mengesahkan pertemuannya dengan Perdana Menteri.

Perubahan adalah perkara biasa dalam politik kata Ahmad Bashah sambil menambah, tidak semestinya perubahan kepada jawatan menteri besar bermakna seluruh anggota exco lama akan digugurkan.

"Secara konvensyennya di Kedah, setiap kali adanya perubahan ke atas jawatan MB, Yang Dipertua Dewan akan menasihati agar anggota-anggota exco turut mengangkat sumpah taat setia.

"Jadi ini bermakna secara langsungnya mereka akan mengangkat sumpah sebagai barisan exco yang baru, " jelas Ahmad Bashah.

Menurut beliau, mesyuarat exco tidak akan diadakan sehingga barisan exco baru mengangkat sumpah.

Difahamkan Ahmad Bashah dijadual bertemu dengan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada Khamis untuk mempersembahkan senarai sembilan exco kerajaan negeri.

Beliau kemudian dijangka bertemu dengan Sultan Kedah.