Friday 5 February 2016

Di Sebalik Khabar Angin, TH Umum Bonus Sehingga 8 Peratus Untuk Pendeposit

Tabung-Haji

Biarpun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan pemberian bonus sebanyak 5.0 peratus bonus tahunan dan 3.0 peratus tambahan bonus haji khusus kepada pendeposit yang belum pernah lagi menunaikan haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pembayaran kedua-dua bonus itu berjumlah RM3.236 bilion berbanding RM3.327 pada tahun 2014.
Bonus itu akan memberikan manfaat kepada hampir 8.85 juta orang pendeposit TH yang aktif.
“Keuntungan bersih selepas zakat TH mencecah RM3.53 bilion berbanding RM2.98 bilion pada 2014 atau peningkatan sebanyak 19 peratus.
“Ia merupakan pendapatan dan keuntungan tertinggi sejak 52 tahun TH beroperasi,” katanya ketika mengumumkan prestasi kewangan TH di ibu negara hari ini dalam satu sidang media.
Beliau berkata TH mengambil kira pandangan Bank Negara dan prospek ekonomi tahun ini, pihaknya akan menyimpan RM300 juta dari keuntungan boleh agih tahun ini sebagai rizab, menjadikan jumlah rizab boleh agih TH meningkat kepada RM593 juta.
Jamil berkata jumlah keuntungan boleh agih dan rizab boleh agih TH melonjak kepada RM3.82 bilion di samping menghasilkan penambahan nilai sebanyak RM18.31 bilion kepada dana pendeposit dan peningkatan keuntungan lebih lima kali ganda sejak tahun 2006.
Dalam sidang media sama, Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata bonus tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun pendeposit bermula pada 10 Februari ini.
Beliau juga menafikan berlaku pengeluaran atas dasar panik daripada pendeposit berkenaan khabar angin tentang kedudukan kewangan TH.
“Memang terdapat pengeluaran daripada para pendeposit sepanjang tahun lepas. Namun, jumlah pengeluaran tersebut masih pada tahap normal, seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.