Tuesday 16 February 2016

Ahmad Razif Fokus Kehendak Orang Muda Melalui Transformasi Orang Muda (TOM)


Kerajaan negeri hari ini melancarkan program Transformasi Orang Muda (TOM) sebagai salah satu formula untuk memperbaiki keyakinan pengundi Gen Y dalam memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kekal relevan menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, inisiatif pertama seumpamanya yang diterajui UMNO Terengganu itu secara tidak langsung dapat menghargai impian, bakat, bakti dan harapan generasi muda melalui enam saluran yang disediakan merangkumi cyber orang muda (COM), saf orang muda (SOM), mukhayyam orang muda (MOM), jelajah orang muda (JOM), komuniti orang muda (KOM) diikuti sukan orang muda (Sukom).
Beliau menarik perhatian, sebanyak RM22 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi menjayakan program yang merupakan penambahbaikan kepada bantuan Dana Bakti Remaja itu.
“Kerajaan negeri telah mengagihkan bantuan Dana Bakti Remaja sejak 2005 lagi dan tradisi itu kekal hingga ke hari ini, bagaimanapun seiring dengan dasar Transformasi Terengganu Baharu (TTB) maka kita memberi suntikan baharu terhadapnya di bawah program TOM.
“Oleh itu pemberian dana pada tahun ini agak berlainan dari tahun sebelumnya kerana golongan anak muda bakal melalui beberapa siri program pilihan daripada enam segmen yang dinyatakan itu untuk disertai, kemudiannya barulah wang tersebut akan diagihkan kepada mereka,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di sini petang ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Samiun Salleh; Pengerusi Kelab Generasi Baharu Terengganu (KGB), Mohd. Johari Abu Bakar serta Pengerusi Persatuan Inspirasi Ikatan Wanita Muda Terengganu (Indah), Rozita Ismail
TOM yang digerakkan bersama KGB dan Indah dengan sokongan Skuad Sukarelawan TTB itu menyasarkan penglibatan kira-kira 70,000 golongan muda yang belum berkahwin di bawah usia 40 tahun termasuk pelajar institusi pengajian tinggi.
Menurut Ahmad Razif, kerajaan negeri membelanjakan RM20.9 juta tahun lalu bagi diagihkan kepada 104,861 orang anak muda menerusi Dana Bakti Remaja manakala sebanyak RM19 juta pula dimanfaatkan buat 93,726 orang pada tahun sebelumnya.
Katanya, walaupun dihimpit kekangan kewangan berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu tetapi kerajaan negeri tetap akan meneruskan pemberian sumbangan itu sekali gus membuktikan komitmen dalam membela nasib golongan sasar.
“Saya difahamkan TOM sudah mempunyai modul tersendiri dan bermula minggu depan program-program yang dirancang sudah boleh digerakkan.
“Disamping itu, kesemua aktiviti di bawah anjuran TOM akan dibimbing oleh fasilistator yang terlatih serta berpengalaman dalam kerja kemasyarakatan dan kita jangkakan akan melatih keseluruhan 320 orang pelatih khas dengan 40 orang di setiap bahagian,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Johari berkata, setiap aktviti akan digerakkan secara berkumpulan selaras untuk membentuk komuniti orang muda yang berdisiplin, prihatin dan peka kepada persekitaran.
– Utusan