Tuesday 16 February 2016

Budak Berumur 7 Tahun Solat Dhuha Setiap Hari Bila Ke sekolah..

DIDIKAN yang betul dan disiplin yang tinggi membuktikan seorang murid yang hanya berusia baru tujuh tahun mampu menunaikan solat Dhuha setiap hari ketika waktu rehat di sekolahnya.
Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 1, di sini, Muhamad Haziq Amsyar Ahmad Mustamam berkata, waktu rehatnya tidak disia-siakan begitu saja dan dia akan menunaikan sunat Dhuha yang diamalkan sejak Januari lalu.
Katanya, ibunya, Tengku Nor Adlina Raja Hussin dan bapanya, Ahmad Mustamam Ahlang Ahmad yang menggalakkannya berbuat demikian.
“Saya diajar menunaikan solat ketika kecil lagi dan sejak usia lima tahun saya tidak meninggalkan solat lima waktu.
“Selepas solat, saya akan berdoa supaya dimurahkan rezeki, dimudahkan belajar dan berharap ibu dan ayah dapat menunaikan haji di Makkah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Sejak beberapa hari yang lepas, viral di media sosial gambar Muhamad Haziq menunaikan solat sunat Dhuha. Semoga adik Haziq akan dapat mengekalkan momentum ini sepanjang hayat beliau. Tahniah dik!