Projek ‘Canal City’ di Selangor, yang dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri pada 2007, perlu dikaji semula, susulan bencana banjir yang berlaku di Shah Alam dan kawasan lain, hujung minggu lalu.
Bekas Perdana Menteri Najib Razak, berkata projek berkenaan sudah diberi peruntukan RM3 bilion, dengan projek berkenaan mula dibina pada 2007 hingga 2009, namun tergendala selepas kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor.
Lalu, projek tebatan air ini dibatalkan terus oleh kerajaan Pakatan Selangor dengan alasan ianya tidak memberi manfaat besar bagi Selangor.
Akhirnya, tanah yang dikhususkan bagi projek ini dijual oleh kerajaan Selangor dengan harga murah giler (gila) kepada developer (pemaju) dua minggu sebelum PRU13,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Katanya, lokasi projek berkenaan berada di selatan Majlis Perbandaran Shah Alam iaitu sekitar Taman Sri Muda dan Kota Kemuning.
Najib berkata, ia membabitkan pembinaan terusan air utama sepanjang 18km merentasi daerah Klang hingga ke daerah Hulu Langat.
“…yang akan menghubungkan Sungai Klang dengan Sungai Langat dengan matlamat mengalihkan 30% air dari Sungai Klang ke Sungai Langat pada waktu puncak. Beberapa terusan sekunder juga akan dibina,” katanya.
Beliau berkata, selain itu juga akan membina beberapa takungan air yang amat besar (seperti HORUS) untuk menyimpan air yang akan menjadi sumber air bagi penduduk negeri itu.
Jika terusan air ini dapat mengurangkan risiko banjir, di samping dapat menambah rizab air mentah Selangor, namun saya rasa ada keperluan untuk mengkaji semula perlaksanaan projek ini,” katanya.