Sunday 7 February 2021

Pembubaran Pasukan Tindakan Khas Satu Kesilapan - Zahid


Pembubaran Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) pada 2019 satu kesilapan.


Perkara itu dinyatakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga pencetus idea kepada penubuhan tiga skuad elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu pada 2014.


DS Zahid yang merupakan bekas Menteri Dalam Negeri berkata, andai STING, STAGG dan STAFOC masih wujud, pasti kes-kes jenayah berat dan kongsi gelap semakin kurang didengari oleh kita pada hari ini.


Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING). 


Idea penubuhan tiga skuad elit ini dengan sasaran untuk melawan dan melumpuhkan habis-habisan jenayah terancang di Malaysia. 


STAFOC untuk menangani jenayah terancang seperti membabitkan sindiket rompakan bank, penculikan. 


STAGG untuk melawan kumpulan gengster antarabangsa dan tempatan, maksiat, judi dan pertubuhan kongsi gelap.


STING untuk memburu ketua sindiket dadah serta melawan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa dan tempatan. 


Ketiga-tiga pasukan elit ini pernah digabungkan dalam Op Cantas Khas bagi menangani kegiatan kongsi gelap dan pembunuh upahan pada 2016.


Mereka bukan sahaja telah berjaya meningkatkan tahap penguatkuasaan, tapi menjadikan jaringan perisikan lebih efisyen. 


Namun selepas kerajaan BN tumbang pada 2018, kerajaan 22 bulan mengarahkan pembubaran ketiga-tiga skuad elit ini. 


Antara alasan bagi mengelak pertindihan fungsi dalam jabatan, mengelak rasa kurang harmoni antara anggota, menjimatkan perbelanjaan kerajaan. 


Alasan itu dibuat tanpa mengambil kira indeks jenayah membabitkan aktiviti kumpulan jenayah terancang turun mendadak sejak penubuhan skuad terbabit. 


Begitu juga perihal kewujudan skuad elit ini. Mereka dianggap sebagai pakar dalam bidang tugas mereka menentang jenayah. 


Mereka terdiri daripada yang terlatih dan terpilih antara yang terbaik daripada yang terbaik dalam pasukan polis. 


DS Zahid berkata andai STING, STAGG dan STAFOC masih wujud, pasti kes-kes jenayah berat dan kongsi gelap semakin kurang didengari oleh kita pada hari ini. 


“Sebenarnya mereka yang bubarkan tidak tahu keberkesanan unit-unit ini. Jasa saudara dan saudari di STING, STAGG dan STAFOC akan tetap dikenang oleh masyarakat"