Namun, apabila harga barang mengalami kenaikan menjelang Aidilfitri di bawah pimpinan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), pengguna berkata ia berpunca dari pembekal yang menaikkan harga secara melampau.
Peniaga, Jamilah Sidek, 32, berkata pembekal menaikkan harga barangan kerana tidak dapat menampung permintaan yang tinggi dari pengguna menjelang musim perayaan.
“Apabila barang sampai dengan harga tinggi, kami peniaga juga tidak dapat menjualnya dengan harga lebih murah,” katanya.
Peniaga ayam, Hashim Jasin, 39, menjelaskan harga kawalan yang bakal dikeluarkan oleh kerajaan menjelang musim perayaan ini akan menyebabkan harga barang mengalami penurunan.
Katanya, harga ayam kini dijual pada harga RM8.50 sekilogram, bagaimanapun mungkin akan mengalami penurunan RM1 seminggu sebelum Aidilfitri.
“Harga ayam ada kenaikan dalam RM1.20 sejak kira-kira tiga minggu lalu tetapi selalunya harga ini turun apabila kerajaan mengumumkan mengenai kawalan harga,” katanya.
Peniaga daging, Nizam Jalal, 41, pula berkata pembekal meletakkan harga yang tidak menentu menyebabkan berlaku kenaikan harga dan kini daging pejal dijual pada harga RM38 sekilogram manakala RM40 sekilogram bagi batang pinang.
“Harga daripada pembekal tidak menentu, itu yang berlaku kenaikan harga dan selalunya apabila harga barang sudah naik, sukar tidak berlaku penurunan,” katanya.
Manakala, pekerja swasta, Yusman Azhar, 32, menjelaskan pihak kerajaan mampu untuk mengawal kenaikan harga barang jika kerajaan dapat mengawal pembekal.
“Menjelang musim perayaan seperti sekarang akan berlaku pertambahan permintaan barangan dan bekalan kerana itu boleh berlaku kenaikan harga barang terutama jika ada tekanan daripada pembekal,” katanya.