Tuesday, 29 May 2018

Boleh Bantah Keputusan PRU Dalam Tempoh 21 Hari


Keputusan PRU ke14 sudah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam.

Pewartaan itu selaras dengan Peraturan 27 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 bagi maksud penyiaran keputusan dan penyata pengundian dalam Warta.

Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan dalam PRU-14 bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh mengemukakan petisyen pilihan raya dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan disiarkan dalam Warta, selaras peruntukan Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

SPR memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad, mendakwa wujud unsur penipuan ketika proses pengiraan undi PRU-14 sehingga ada calon Pakatan Harapan (PH) tewas dengan jumlah undi yang tidak masuk akal dan mengejutkan.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, perbuatan terbabit menyebabkan parti dalam gabungan itu tidak mendapat keputusan yang baik walaupun memenangi PRU-14.

SPR turut mengingatkan semua calon yang bertanding pada PRU-14 atau ejen pilihan raya masing-masing supaya mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri dalam tempoh 31 hari selepas tarikh keputusan PRU-14 diwartakan.

“Perkara ini selaras dengan Seksyen 23 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan di bawah akta berkenaan,” katanya.