UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak tidak mengamalkan pendekatan ofensif atau maki hamun seperti yang dilakukan pembangkang, kata YAB Menteri Besar Perak, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata UMNO dan BN negeri juga terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Zambry yang juga pengerusi BN Perak berkata tumpuan kini adalah untuk memperkemaskan lagi jentera parti di peringkat akar umbi.
"Kami telah mula melaksanakan agenda ini selepas PRU13 dengan turun ke kawasan-kawasan dan hari ini diteruskan di peringkat kawasan Parlimen," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pelancaran Pemukiman 3YB dan perasmian Arena Amanjaya Lawin di sini.
Mengenai program pemukiman itu, Zambry berkata ia boleh dicontohi dan dilaksanakan di kawasan lain di Perak.
"Melalui program ini kami mendapat maklum balas daripada rakyat dan ini merupakan kesinambungan kepada program pemukiman MB Perak," tegas Zambry.