Saturday, 18 November 2017

KPAU 2017 Patform Dengar Keluhan Rakyat



Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah (KPAU) Ketiga yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Ahad ini bakal menjadi wadah kepada UMNO untuk mendengar setiap aspirasi dan keluh kesah rak­yat di peringkat akar umbi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, konvensyen itu menjadi medan terbaik untuk memastikan segala permintaan rakyat disuarakan secara inklusif dan tidak hanya bersifat konvensional semata-mata tanpa diberikan perhatian khusus.

Sebanyak 635 usul yang diterima di peringkat bahagian dan cawangan UMNO merangkumi empat kluster utama iaitu politik, pendidikan, agama dan ekonomi akan dibincangkan dalam KPAU 2017 sebelum usul terpilih dibahaskan di Perhimpunan Agung UMNO 2017.

“Ini merupakan platform terbaik UMNO untuk merak­yatkan parti serta menjadi wadah untuk menyalurkan pandangan dan aspirasi yang dicadangkan rakyat, selain usul yang bawa 191 wakil bahagian dan cawangan di seluruh negara. Kaedah ini merupakan jalan terbaik untuk mencari penyelesaian kepada setiap permasalahan yang dihadapi setiap lapisan masyarakat, sekali gus mencerminkan keseriusan dan keprihatinan UMNO mencorakkan dasar mengikut kehendak rakyat,”

Asyraf Wajdi merangkap Pengerusi KPAU berkata, pelbagai pihak termasuk ahli akademik, pakar ekonomi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar universiti diundang untuk memberi pendapat masing-masing mengenai usul yang dibawa sebelum dijadikan resolusi di Perhimpunan Agung UMNO 2017.

Pembabitan tokoh bukan ahli UMNO dalam konvensyen dan beberapa siri perbincangan bertujuan untuk memastikan usul yang diketengahkan bahagian menyantuni ke­perluan dan kehendak rak­yat.

“Ini menunjukkan bahawa UMNO sentiasa bersikap terbuka dan tidak memilih untuk mendengar apa-apa yang ingin disuarakan rakyat dan mungkin juga penyokong pembangkang akan hadir dalam konvensyen tersebut untuk melihat, mendengar dan menyuarakan pandangan mereka.

“Sebab itulah maklum balas dan pandangan pelbagai kelompok akar umbi amat mustahak untuk disantuni dan diberikan perhatian kerana UMNO bukan sahaja milik ahli parti yang menjadi pendukung setia tetapi turut memayungi rak­yat keseluruhannya,” katanya.

Konvensyen yang memasuki edisi ketiga hasil cetusan idea Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ini penting untuk memperkasakan kembali agenda ummah yang bersifat inklusif demi memastikan negara terus dikemudi UMNO berpandukan citra dan suara hati pelbagai kelompok masyarakat.


Related Posts: