Saturday, 30 September 2017

Budget 2018 Kepentingan Sekolah Tahfiz Turut Diberi Perhatian



Budget 2018 mengambil kira kedaifan prasarana pusat-pusat tahfiz di negara ini, kerajaan dijangka mengumumkan beberapa bentuk bantuan dan faedah kepada untuk pusat-pusat tersebut di dalam Bajet 2018 yang akan dibentangkan 27 Oktober ini.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan peristiwa sedih yang dialami Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung yang dijilat api sehingga mengorbankan 23 penghuninya

Katanya, pihak Majlis Tertinggi UMNO sendiri berharap kerajaan bertindak tegas terutama membabitkan soal keselamatan di pusat-pusat tahfiz di seluruh negara.

“Kita ambil maklum perkembangan mengenai peristiwa sedih kebakaran tahfiz di Kuala Lumpur baru-baru ini dan semua kepemimpinan tertinggi UMNO mahu kerajaan bertindak tegas dalam soal keselamatan di pusat-pusat tahfiz ini, sebelum hal-hal lain seperti kurikulum.

“Kami akan mengumumkan sesuatu berhubung kedudukan semua pusat-pusat tahfiz dalam negara di dalam Bajet 2018,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Yang turut hadir Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor serta barisan kepemimpinan tertinggi parti.

Pada masa sama Najib berkata, Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada minggu terakhir Oktober ini bakal menjadi bajet yang seimbang demi memenuhi janji dan komitmen kerajaan untuk memberi keyakinan kepada pasaran.

Katanya, kerajaan mengambil pendekatan bertanggungjawab dalam menyediakan perbelanjaan negara dan bukan mengejar populariti semata-mata.

“Perbelanjaan secara bertanggungjawab akan menjadi keutamaan namun kerajaan tetap akan mengadakan program-program yang penting bagi melindungi kebajikan rakyat serta memberi manfaat kepada sektor-sektor penting negara,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, Bajet 2018 penting buat kerajaan untuk mengekalkan suasana positif negara ekoran susulan kemampuan kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam transit aliran massa (MRT), kecemerlangan negara dalam Sukan SEA Ke-29 serta Sambutan Hari Kebangsaan 2017 beberapa minggu lalu.

Related Posts: