Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Nazir Hussin Akhtar Hussin, berkata pakatan itu meletakkan tiga orang menerajui kepemimpinan tertinggi parti dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai Ketua Umum, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Pengerusi dan Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dilantik Presiden.
"Siapa yang lebih berkuasa dalam membuat keputusan antara ketua umum, pengerusi dan presiden kerana tiada skop kuasa jelas antara ketiga-tiga jawatan itu.
"Berbulan-bulan mengadakan perbincangan dan akhirnya ini saja yang mereka dapat dengan mengambil jalan selamat melantik tiga 'kepala' untuk menerajui Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan Anwar sebagai Ketua Umum PH dan beliau sendiri sebagai pengerusi pakatan pembangkang itu manakala Dr Wan Azizah sebagai Presiden PH.
Pengumuman dibuat Dr Mahathir selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung selama lima jam di ibu pejabat PKR.
Nazir Hussin yang juga Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan (HELP) Pemuda UMNO, berkata struktur baharu itu dilihat sebagai cuba mengambil hati Dr Mahathir bagi membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.
"Ketiga-tiga pemimpin ini mempunyai haluan berbeza yang mana Anwar menubuhkan PKR kerana menentang pentadbiran Dr Mahathir manakala Dr Mahathir menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana agenda peribadi menjadikan anaknya sebagai Perdana Menteri.
"Aneh sebenarnya apabila Dr Mahathir kini berada di bawah telunjuk Anwar sekiranya jawatan Ketua Umum lebih tinggi daripada Pengerusi di bawah struktur baharu Pakatan Harapan ini.
"Dr Wan Azizah yang menjadi 'bidan terjun' dalam politik kerana mahu memperjuangkan suaminya di penjara dan tidak pernah kisah dengan nasib rakyat di Permatang Pauh dan Kajang, hanya menjadi 'pemanas kerusi' suaminya.
"Kini mereka berkawan baik dalam keadaan amat janggal tetapi masing-masing sebenarnya keliru dengan perjuangan," katanya.
Nazir Hussin juga mempersoalkan kewajaran pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Timbalan Presiden.