Thursday, 8 June 2017

Calon BN Pada PRU-14 Mesti Bersih Skandal Dan Rasuah



Seruan supaya semua calon Barisan Nasional (BN) wajib mengisytiharkan harta masing-masing sebelum mendapat 'lampu hijau' untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang adalah tindakan proaktif yang perlu dilaksanakan. Mana-mana ahli parti atau wakil rakyat yang terpalit dengan skandal dan kes rasuah, tidak sama sekali akan dibenarkan bertanding atas tiket BN.

Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad mengharapkan parti politik untuk tidak meletakkan calon yang mempunyai kes rasuah pada PRU-14. Menurut Dzulkifli, adalah penting untuk parti politik bukan sahaja memilih calon yang benar-benar bebas daripada sebarang sabitan atau kes rasuah, malah pada masa sama menghantar isyarat jelas kepada rakyat bahawa mereka tidak berkompromi dengan rasuah.

Pengisytiharan harta perlu dilakukan bagi membuktikan ketelusan untuk memastikan harta yang diperoleh adalah setaraf dengan punca pendapatan calon yang akan bertanding dalam pilihan raya. Tindakan ini juga dapat mengelak rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa serta aktiviti yang boleh mencemarkan nama kerajaan yang memerintah. Jika ada pertuduhan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai amalan rasuah dan sebagainya, dokumen perisytiharan harta boleh menjadi bukti bahawa harta yang diperoleh diambil maklum oleh kerajaan negeri atau Pusat.

Kajian sikap yang dijalankan oleh saya juga menunjukkan salah satu ciri utama pemilihan dalam kalangan pengundi adalah calon yang tidak terbabit atau terpalit dengan rasuah. Malahan, kajian mendapati pengundi mengharap agar calon yang akan bertanding mestilah mempunyai integriti tinggi, jujur, amanah dan bertanggungjawab.

Personaliti calon sememangnya menjadi keutamaan, selain calon anak tempatan dan juga 'turun padang'. Jelas, pengundi dan rakyat mahukan pemimpin yang bebas dan bersih rasuah. Dengan tindakan pengisytiharan harta serta ikrar integriti, meyakinkan pengundi untuk memilih calon dan parti yang berani membuktikan diri bebas rasuah, tanpa berselindung atau 'menyorokkan sesuatu'.

Konsep 'Kepemimpinan Melalui Teladan' sepatutnya menjadi teras kepada mana-mana pemimpin politik. Ahli Parlimen atau ADUN serta pemimpin yang lain mestilah menunjukkan kepemimpinan terbaik dan berintegriti kepada rakyat. Integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan melaksanakan amalan terbaik.

Penjawat awam juga diwajibkan untuk mengisytiharkan apa-apa harta yang diperoleh sebelum dilantik dan ketika berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Selalunya penjawat awam diminta untuk mengisytiharkan harta ketika mula melaporkan diri di jabatan kerajaan dan memperbaharui perisytiharan setiap lima tahun.

Persoalan integriti Pemimpin sebenarnya ikon atau ikutan yang menjadi contoh di mata pengikutnya. Maka seseorang pemimpin yang mengamalkan amalan dan gaya kepemimpinan terbaik, selalunya dihormati. Bukan ditakuti. Sebenarnya cabaran terbesar parti dan ahli politik adalah berkaitan persoalan integriti.

Pemerintah terutamanya parti yang memegang kuasa berdepan persoalan memantapkan integriti dan menangani tuntutan serta harapan rakyat yang kian meningkat. Secara keseluruhan, rakyat juga mahu gelanggang politik menjadi medan yang bersih dan landasan memajukan masyarakat dan negara. Politik yang bersih dan mengamalkan integriti dalam pentadbiran membolehkan pelaksanaan setiap dasar, program dapat berjalan dengan lancar.

Keperluan memupuk budaya integriti terbukti apabila Pahang menjadi negeri pertama melakukan pengisytiharan harta Menteri Besar serta 11 EXCO masing-masing kepada SPRM. Ikrar Integriti juga telah disempurnakan oleh Menteri dan Menteri Muda kerajaan negeri dan ADUN Sabah dan Sarawak.

Semangat integriti semakin memberangsangkan apabila Melaka negeri pertama menganjurkan Kolokium Tadbir Urus dan Integriti Kerajaan Negeri di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM, September lalu. Berlangsung di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM memperlihatkan komitmen dan serius barisan kanan anggota pentadbiran kerajaan Melaka. Ini termasuklah Ketua Menterinya dalam mendapatkan pengalaman dan pengetahuan terbaru dalam soal budaya berintegriti. Sewajarnya, semua bakal calon yang akan bertanding menghadiri program integriti anjuran SPRM.

Program ini menyediakan input, penghayatan serta pengamalan ke arah Ikrar Integriti bagi menjelaskan peranan dan fungsi SPRM kepada pengurusan tertinggi kerajaan negeri. Seterusnya memperbaiki persepsi masyarakat terhadap SPRM, meningkatkan pengetahuan pihak pengurusan tertinggi kerajaan negeri, di samping menjadikan mereka sebagai tokoh pencegahan rasuah dan berperanan sebagai pihak yang mempertahankan SPRM.

Bakal wakil rakyat perlu memahami aspek Kepemimpinan Berteraskan Integriti; memahami Integriti Dalam Politik (Do's & Dont's) serta menyedari hubungan kuasa politik dan integriti. Keadaan pada hari ini sudah berbeza berbanding persekitaran satu dekad lalu. Ahli politik juga memperlihatkan komitmen yang membina ke arah mewujudkan persekitaran bebas rasuah dan berintegriti seperti diharapkan oleh rakyat dan pengundi masing-masing.

Jika semua parti politik di negara ini dapat membuktikan bahawa calon yang ditampilkan pada PRU-14 nanti terdiri daripada mereka berintegriti dan bebas rasuah, kita mengharap agar pilihan raya kali ini menjadi gelanggang bagi politik matang dan sejahtera.